AWAS Beri Peringatan Kepada Bersih 5


KUCHING: Sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Angkatan Warisan Anak Sarawak (AWAS) mengingatkan pihak penganjur perhimpunan Bersih 5.0 yang akan diadakan secara serentak seluruh negara pada 19 November ini agar melihat isu keselamatan secara serius, kerana perhimpunan tersebut dikhuatiri mampu mencetus suasana tegang di lokasi-lokasi tertentu.

Setiausaha Kehormat AWAS Mohd Junaidi Haji Sambang berkata, tidak ada salahnya suatu perhimpunan jika mendapat kebenaran pihak berkuasa, namun dikhuatiri pihak penganjur gagal mengawal tingkahlaku peserta yang terdiri dari pelbagai kecenderungan.

Menurutnya, budaya perhimpunan yang berakhir dengan keganasan adalah tidak relevan sama sekali dibuat di Sarawak, kerana Sarawak adalah sebuah negeri yang penuh dengan toleransi, meskipun hidup dalam kepelbagaian etnik.

"Budaya keganasan dari luar negara dibawa masuk ke negara kita dan seterusnya diserap masuk dalam siri jelajah pihak yang tidak bertanggungjawab, serta mempunyai agenda peribadi.

“Budaya himpunan yang berakhir dengan keganasan harus ditolak demi memelihara kestabilan negara kita dan demi mengekalkan solidariti negara yang demokrasi ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Sarawakiana ketika diminta mengulas mengenai penganjuran Himpunan Bersih 5 di negeri ini oleh beberapa pihak.

Junaidi turut berharap agar himpunan yang akan diadakan kelak diadakan di tempat yang telah ditetapkan,  bukan dalam bentuk jelajah yang memungkinkan mengancam keselamatan orang lain sepertimana himpunan Bersih sebelum ini di Semenanjung.

“Saya bersetuju dengan NGO yang ingin mengadakan perhimpunan namun pihak penganjur hendaklah memastikan serta mengutamakan keamanan dan juga keselamatan orang awam di sekeliling dan mengadakannya di kawasan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.” katanya. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA