Aram Ngupi: Tangani Penagih Dadah Dengan Rasional

Awal pagi bergerak ke Bandar Baru MJC Batu Kawa dan lepak di D' fr Cafe. Bersarapan dengan air kopi 'O' panas sudah menjadi kemestian. Kenapa D' fr Cafe jadi pilihan adalah disebabkan mee gorengnya yang lazat.

Menunaikan janji rakan penulis pergi ke MJC kerana ada sedikit perbincangan pasal kerja part time. Biasalah cari rezeki tambah pendapatan.

Lima minit selepas itu rakan penulis tiba bersama dua orang rakan beliau. Kami berjabat tangan dan berkenalan dan perbincangan diteruskan serta tidak lupa diselitkan dengan isu-isu semasa.

Isu dadah menjadi tajuk perbualan yang menarik. Pada masa kini, Sarawak juga tidak terlepas daripada isu dadah yang sudah menular meluas di dalam negeri dan perkara tersebut telah menjadi perbualan hangat netizen yang prihatin dengan nasib penagih dadah.

Menurut rakan, gejala tersebut akan menjadi semakin kritikal jika tidak ditangani dengan segera. Perkara tersebut bukan diletak kepada bahu kerajaan semata-mata tetapi masyarakat perlu bertanggungjawab menangani gejala tersebut.

Melalui pengalaman rakan, beliau memiliki adik yang telah menjadi penagih syabu. Pada mulanya mereka sekeluarga tidak perasan. Lebih setahun adik beliau menjadi penagih.

Apabila diketahui, mereka sekeluarga tidak bertindak melulu dan mengambil langkah rasional untuk menangani hal tersebut. Mereka mengambil pendekatan yang halus agar adik tersebut dapat menerima nasihat dan pendapat serta menerima cadangan untuk menjalani pemulihan.

Hasil daripada perbincangan yang baik, akhirnya mereka menghantar adik mereka ke pusat pemulihan. Kini adik tersebut telah pulih dan keluarga tetap memberi layanan dengan penuh kasih sayang.

Menurut rakan lagi, penagih dadah ini perlu pendekatan yang rasional untuk memulihkan mereka. Jangan singkir mereka dan jangan sisihkan mereka. Keluarga pula tidak perlu malu terhadap masyarakat apabila bertindak dengan rasional kerana yang penting adalah menyelamat ahli keluarga yang terlibat dengan penagihan dadah.

Begitulah pengajaran yang penulis dapat daripada rakan pagi ini. Apa-apa pun buat pembaca diluar sana, elak daripada terlibat dengan penagihan dadah.

Dadah adalah pembunuh senyap yang memusnahkan kehidupan. -Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA