Aram Ngupi: Silap Motosikal ?


Pagi ini keluarkan motosikal dan bergerak menuju ke sebuah kedai kopi yang agak terkenal di Kota Samarahan. Hanya mengambil masa lima minit untuk sampai ke destinasi.

Warong Nusantara yang dahulunya terkenal dengan nama Warong 2000 telah diubah suai dekorasi dalamannya serta kerusi dan meja ditukar baru. Penulis rasa bersyukur perniagaan Melayu semakin melangkah kehadapan.

Penulis mencari 'port' sesuai untuk layan kopi 'O' panas pagi ini dan tiba-tiba sahabat dikenali menyapa dan mempelawa penulis duduk semeja. Ada dua lagi rakan beliau duduk semeja. Kami bersalaman tanda awal perkenalan.

Setelah memesan kopi 'O' panas kepada pekerja kedai, maka bermulalah perbualan menarik di antara kami. Sahabat berkata sudah hampir 10 tahun tidak jejak kaki ke Samarahan dan mengatakan Samarahan sudah banyak berubah.

Penulis mengangguk dan senyum mengiyakan apa yang di kata. Sahabat berkata dahulu hanya ada jalan dari Kota Sentosa sahaja sebagai jalan untuk sampai ke sini. Kini sudah ada jalan seperti Lebuhraya dari Tabuan. Begitu cepat pembangunan Samarahan berlaku.

Dalam rancak berbual, kopi 'O' panas pun sampai dan penulis menghirup air kopi dan terasa sedap yang tidak dapat diungkap.

Ringkasnya pembangunan Samarahan memang ketara disebabkan kestabilan ekonomi dan perpaduan berbilang kaum.

Kelihatan warga emas yang duduk berhampiran kami pun sudah mula untuk berangkat pulang tetapi dalam masa yang sama masih rancak berbual walaupun kaki sudah melangkah ke arah motosikal.

Kelihatan seorang warga emas diantara mereka sudah menaiki motosikal dan cuba membuka kunci untuk menghidupkan motosikal. Beliau agak lama mencuba membuka kunci tetapi tidak dapat.

Kelihatan seorang anak muda menghampiri warga emas tersebut dan memberitahu beliau.

"Maaf Pakcik. Ini motosikal saya. Motosikal Pakcik ada di sebelah motosikal saya," kata anak muda itu. -Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA