Aram Ngupi : Sembur Air, Keluar Darah


Wardinna Cafe Samarahan jadi lokasi pekena kopi 'O' pagi ini. Tiada janji tiada pula pertemuan yang telah ditetapkan.

Sambil menikmati kopi 'O' yang pekat, tiba-tiba seorang rakan menyapa. Penulis mempelawa rakan duduk dan mengajak bersarapan sekali.

Apa yang menariknya rakan membuka cerita tentang salah seorang ahli keluarganya sedang sakit. Sudah beberapa kali dirujuk ke hospital namun doktor tidak dapat mengesahkan apa sebenarnya penyakit pesakit tersebut.

Setelah puas berusaha, mereka sekeluarga bersetuju untuk cuba menggunakan cara tradisional. Rawatan menggunakan dukun dipersetujui oleh semua.

Dalam pada itu, mereka mendengar terdapat seorang dukun yang hebat merawat pesakit. Mereka bergegas mencari dukun berkenaan dan berjumpa serta terus membuat temujanji rawatan.

Dua hari selepas itu, dukun berkenaan datang ke rumah seperti yang dijanjikan. Pesakit diangkat ke ruang tamu mengikut kehendak dukun. Proses rawatan pun bermula dan dukun pun membuat pemeriksaan secara ritual.

Dukun pun meminta kebenaran untuk menggunakan sebuah bilik untuk berseorangan sebab itulah cara dukun tersebut merawat pesakit.

Namun terdapat dalam ahli keluarga pesakit yang bersifat nakal. Beliau cuba mengintai perbuatan dukun tersebut. Selepas mengintai, beliau memberitahu rakan yang dukun tersebut menggosok sesuatu di tapak tangan.

Dukun pun keluar dari bilik dan melakukan rawatan selanjutnya. Dukun menggosok badan pesakit teutama bahagian dada dan perut. Dukun meminta ahli keluarga membawa sebotol air putih. Setelah mendapat air, dukun mula minum air tersebut tetapi tidak menelan.

Dukun terus menyembur bahagian yang telah digosok tadi. Serta merta titisan air tadi bertukar menjadi warna merah seperti darah. Dukun berkata darah yang keluar itu adalah darah kotor dan pesakit telah kena perbuatan orang.

Rakan yang mendengar cerita ahli keluarga yang nakal tadi terus mengesaki sesuatu. Rakan mengetahui serba sedikit tindak balas air dan belerang.

Maka rakan menghampiri dukun dan meminta dukun keluarkan serbuk yang ada dalam beg lilit pinggang. Wajah dukun mula pucat. Rakan menghidu sesuatu seperti belerang.

Dukun terus berdiri dan terus melangkah keluar rumah dan tidak melangkah meninggal rumah tanpa menoleh. Rakan pun berkata kepada penulis bahawa dukun tersebut telah menipu mereka dengan mengguna belerang untuk menghasilkan air menjadi titisan darah.

Satu pengajaran yang berharga buat penulis bahawa dalam dunia ini jangan terlalu percaya perkara yang mungkin agak begitu logik. Setiap tindakan haruslah berhati-hati dan elakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan khususnya dalam rawatan tradisional.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA