Aram Ngupi : Pelbagaikan Pelancongan Di Sarawak



D'fr Cafe Batu Kawa lokasi mengupi pagi ini sambil menikmati mee kolok sup tulang. Memang berbeza rasanya mee kolok di sini kerana kelazatannya tidak seperti mee kolok yang lain.

Pagi ini bersantai sarapan dengan warga pesara di sini yang mempunyai banyak topik yang menarik diperbualkan. Ada antara pesara tersebut adalah pemain muzik tempatan Sarawak yang pernah menjadi pengiring muzik artis-artis dayak tempatan.

Beliau mengatakan bahawa muzik Dayak hari ini bukan sekadar suka-suka sahaja, malah ia sudah menjadi karier tetap segelintir artis. Ini kerana sambutan yang menggalakkan dan persatuan muzik Dayak seperti Dayak Artist Music Association (DAMA) telah bekerjasama dengan KPDNKK untuk mencegah ativiti cetak rompak berlaku.

Bukan setakat itu sahaja, muzik Dayak pada masa ini sudah mempunyai platform untuk memartabatkan artis dayak sendiri dimana anugerah berprestij Anugerah Muzik Dayak diadakan setiap dua tahun sekali.

Beliau berpendapat, mungkin kerajaan negeri mahupun kerajaan Malaysia harus melihat sesuatu yang boleh menghasilkan sumber pendapatan negeri atau negara daripada penganjuran Anugerah Muzik Dayak tersebut. Mungkin ia boleh dijadikan produk untuk menarik pelancong datang ke negeri ini.

Realitinya masyarakat antarabangsa memang gemar kepada muzik, apatah lagi muzik tersebut belum pernah mereka dengari. Sebagai contoh sahaja boleh disaksikan apabila masyarakat luar negara sanggup hadir ke Pesta muzik rainforest di Santubong hanya kerana ingin melihat dan mendengar muzik yang berlainan daripada muzik yang pernah mereka dengar.

Penulis bersetuju pada pendapat warga pesara tersebut kerana ia berfaedah untuk ekonomi.

Anugerah Muzik Dayak seharusnya dijadikan platform untuk produk pelancongan yang mempunyai nilai estetika tersendiri dan mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke negeri ini.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA