Aram Ngupi : Masyarakat Perlu Peka Keselamatan Jalanraya



Penulis ubah lokasi menikamati sarapan pagi ini. Bergerak ke lokasi lebih jauh sedikit menuju ke arah Kota Sentosa. Singgah di Serapi Coner untuk merasai kopi 'O' dan nasi goreng. Waktu sebegini memang ramai pelanggan di kedai berkenaan kerana ramai abang-abang askar bersarapan. Mungkin kedudukan kem terntera berada tidak jauh dari lokasi, maka mudah bagi abang-abang askar bersarapan di Serapi Coner.

Sambil menikmati kopi 'O', tiba-tiba dua rakan yang dikenali menyapa dan penulis mempelawa duduk semeja. Bermulalah perbualan yang berkaitan isu semasa. Rakan menyatakan terdapat kemalangan di Batu 12 pagi tadi dan beliau cuma mengatakan tidak pasti keadaan mangsa. Waktu hujan sebegini memang kemalangan sering berlaku jika mengabaikan keselamatan.

Pendapat yang bernas mula dibangkitkan dalam perbualan. Rakan memberi pendapat bahawa kemalangan sering berlaku akibat kecuaian pengguna jalan raya. Kadang-kadang terdapat pengguna jalan raya tidak menggunakan kemudahan yang terdapat pada kenderaan.

Sebagai contoh, tidak memberi isyarat terlebih awal untuk menukar arah dan sebagainya. Ada pula yang memandu dalam keadaan merbahaya serta tidak mengikuti ketetapan kelajuan. Yang sering berlaku kemalangan adalah disebabkan mengguna telefon bimbit ketika memandu.

Memang kemalangan tidak berbau tetapi jika mengambil sikap berhati-hati dan menuruti peraturan jalanraya sedikit sebanyak kemalangan mampu di elak. Jangan berikap pentingkan diri sendiri sahaja sedangkan keselamatan pengguna lain juga perlu diambil berat.

Memang benar apa yang dikatakan oleh rakan. Kadang-kadang terfikir akibat kesilapan seseorang, pengguna jalanraya lain menjadi mangsa. Elakkanlah kemalangan berlaku sekiranya masyarakat peka tentang keselamatan jalanraya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA