• Apa Yang Menarik Dalam #Bajet2017 Jumaat Ini?

    Published: Wednesday, 19 October 2016
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan belanjawan 2017 pada Jumaat ini.

    Berikut beberapa perkara yang mungkin diberi perhatian dalam bajet tahun depan berdasarkan nota kajian penganalisis dan laporan media Malaysia.

    RHB menjangkakan kenaikan RM100 bantuan tunai bagi isi rumah berpendapatan rendah, dengan peningkatan peruntukan kira-kira RM6.6 bilion tahun depan dalam usaha merangsang perbelanjaan pengguna. Dalam Bajet 2016, ia telah dinaikkan sebanyak RM50 kepada RM1,000 bagi setiap isi rumah.

    Cukai barangan dan perkhidmatan (GST)

    Kerajaan kemungkinan besar akan mengekalkan cukai GST, yang diperkenalkan pada April 2015, pada kadar 6 peratus untuk mengelakkan sebarang gangguan pada perbelanjaan isi rumah dan kos menjalankan perniagaan, kata firma pengurusan aset Affin Hwang.


    Cukai korporat


    Affin Hwang juga menjangkakan pengurangan 1 peratus cukai korporat, mulai 2018, akan diumumkan. Kadar ini telah dipotong 1 peratus tahun ini kepada 24 peratus.


    Cukai pendapatan


    Kemungkinan tiada potongan untuk kadar cukai pendapatan individu, walaupun mungkin terdapat lebih peruntukan bagi pelepasan cukai tahun depan, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

    Projek prasarana

    Bajet 2017 mungkin akan memperincikan butiran projek infrastruktur utama yang belum dimulakan bagi mengekalkan momentum sektor ini untuk menyokong pertumbuhan, kata Maybank IB. Projek ini termasuklah lebuh raya dan pengangkutan awam di Semenanjung dan Sabah, dan juga garis masa tempoh pelaksanaan projek landasan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura.

    Pemotongan subsidi

    Subsidi untuk barangan keperluan harian seperti tepung, minyak masak dan gas masak akan dikurangkan lagi, menurut RHB, walau ia mungkin dibuat secara sederhana dan beransur-ansur.

    Pembeli rumah pertama

    Pembeli rumah kali pertama mungkin mempunyai lebih banyak dana untuk digunakan sebagai wang pendahuluan bagi membeli hartanah melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Affin Hwang. Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk menambah peruntukan bagi pembelian rumah kos rendah melalui KWSP kepada 40 peratus daripada 30 peratus akaun simpanan.

    RHB menjangkakan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) diperluaskan kepada lebih ramai pembeli. Ia diperkenalkan mulai tahun ini dengan peruntukan RM200 juta, bertujuan membantu 30,000 pembeli rumah kali pertama mendapat wang pendahuluan.


    Sokongan untuk IKS


    Seorang menteri berkata mungkin terdapat lebih banyak insentif kepada industri kecil dan sederhana (IKS). Katanya, IKS menyumbang 35.9 peratus kepada KDNK pada 2015, dan membentuk 98 peratus perniagaan di seluruh negara.


    Pemotongan duti eksais kereta


    Akhbar Sin Chew Daily berkata kerajaan menimbang pengecualian duti eksais pembeli kereta kali pertama bagi model kecil tempatan dan import yang dipasang di Malaysia, dengan penjimatan dianggarkan sehingga RM2,000. — Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Apa Yang Menarik Dalam #Bajet2017 Jumaat Ini? "