Anwar lebih bijak daripada Mahathir

Tulisan asal oleh :
Raja Petra Kamarudin, Malaysia Today, 13 Oktober 2016.

'Team B' PAS telah dicipta khusus untuk menggulingkan Abdul Hadi Awang. Mereka yang menganggotai 'Team B' kebanyakkannya adalah Anwarinas atau apa yang DAP panggil sebagai ‘moderates’ atau ‘progressive Muslims’.

Saya tidak begitu pasti apa sebenarnya makna ‘moderate Muslims’ atau ‘progressive Muslims’ kerana setakat ini saya tidak menemui sebarang rujukan mengenainya dalam Al-Quran. Sudah tentu, saya tidak fasih berbahasa Arab jadi mungkin sebab itu saya tidak boleh mencari mana-mana dalam Al-Quran yang menyebut tentang ‘moderate Muslims’ atau ‘progressive Muslims’.

Apa-apa pun, saya berharap sama ada Mufti Perlis atau Perak boleh membantu saya mengenainya. Lagipun mereka ada mengatakan pengetahuan saya mengenai Islam masih belum cukup jadi saya yakin mereka bukan sahaja akan gembira untuk membantu saya tetapi juga akan menganggapnya kewajipan agama mereka dan khidmat mereka kepada Allah untuk membantu membimbing saya ke jalan yang betul.

Jadi kita mempunyai 'Team B' dalam PAS yang orang bukan Islam kenali sebagai ‘moderate Muslims’ atau ‘progressive Muslims’. Ini bermaksud 'Team A' adalah ‘extreme Muslims’ atau ‘regressive Muslims’.

Sekali lagi, tiada penjelasan diberikan dalam apa carakah 'Team A' adalah ekstrem atau regresif selain daripada mereka menyokong pindaan kepada Syariah, yang mesti bermakna 'Team B' tidak menyokong pindaan tersebut.

Apa-apa pun, 'Team B' cuba untuk menggulingkan Hadi dan gagal. Malah, mereka hanya memenangi 20% undi dalam pemilihan parti dan hanya satu orang daripada 'Team B' yang menang. Semua yang lain kalah. Jadi mereka mengambil keputusan, kerana mereka tidak diterima lagi di dalam PAS, lebih baik mereka keluar dan memulakan parti baru, yang mana DAP akan membantu membiayainya.

Mereka fikir kerana mereka memenangi 20% undi, itu bermakna 20% daripada ahli PAS menyokong mereka. Jadi itu juga bermakna 'Team B' mempunyai lebih kurang 200,000-250,000 penyokong dalam PAS yang akan meninggalkan parti itu bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin 'Team B'.

Jadi mereka semua keluar untuk membentuk PAN, yang turut dikenali sebagai Amanah dengan memikirkan bahawa keahlian mereka serta-merta akan menjadi sebanyak 200,000-250,000 orang. Tetapi ia tidak berlaku. Sebaliknya, kurang daripada 20,000 orang menyertai mereka dan itupun tidak semuanya dari PAS. Dan majoritinya adalah penyokong Anwar Ibrahim atau Anwarinas.

Kemudian Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk PPBM beliau yang turut dikenali sebagai Pribumi. Sementara PAN sepatutnya menjadi pengganti kepada PAS, PPBM sepatutnya menjadi pengganti kepada Umno.

Dan, seperti mana PAN fikir mereka akan segera mendapat 200,000-250,000 ahli PAS untuk menyertai mereka, PPBM menyangka akan mendapat tidak kurang daripada satu juta ahli Umno. Lagipun, mereka berjaya mendapat 1.3 juta-1.4 juta tandatangan bagi Deklarasi Rakyat Mahathir dalam masa hanya minggu.

Tetapi PPBM tidak dapat menandingi PAN dalam bilangan ahli. Ia masih cuba untuk mencapai 10,000. Dan berapa banyak daripada ahli-ahli baru itu telah diperolehi dengan cara yang sama mereka dapatkan 1.3 juta-1.4 juta tandatangan untuk Deklarasi Rakyat Mahathir?

Dan yang lebih penting lagi, ramai pemimpin-pemimpin PPBM baru (atau pemimpin akar umbi) sebenarnya adalah orang Anwar.

Mereka adalah orang yang asalnya dari Umno (mereka menyertai Umno semasa Anwar meyertainya pada tahun 1982). Ada yang dari ABIM atau dari kedua-dua Umno dan ABIM pada masa yang sama.

Kemudian mereka semua menyertai PKN (kini dikenali sebagai PKR) apabila parti itu ditubuhkan pada tahun 1999 (PKN, sekurang-kurangnya 1000 ahlinya yang pertama, pada asalnya adalah bekas ahli Umno dan ABIM).

Kemudian, selepas pilihan raya umum 1999 dan sebelum pilihan raya umum 2004, apabila mereka tahu bahawa pembangkang akan gagal teruk, mereka semua meninggalkan PKR untuk menyertai atau menyertai semula Umno.

Dan kini mereka semua telah meninggalkan Umno untuk menyertai PPBM.

Jadi mereka telah mengambil perjalanan dari Umno ke PKR ke Umno ke PPBM. Dan, seperti juga PAN yang dikenali sebagai PAS Baru, orang Anwar juga telah memenuhi PPBM. Jadi Anwar, melalui 'reverse take-over' atau pintu belakang (tiada maksud lain yang dimaksudkan di sini), kini menguasai kedua-dua PAN dan PPBM melalui proksi.

Maka, siapakah yang lebih bijak, Anwar atau Mahathir? Ah, tetapi tunggu dahulu ... Mahathir, bagaimanapun, mengawal PKR, juga dengan menggunakan proksi. Ini mula kedengaran seperti permainan yang Amerika Syarikat dan Rusia mainkan di Timur Tengah. Tidak hairanlah Timur Tengah berada dalam keadaan yang kacau-bilau.


Link asal artikel:
http://www.malaysia-today.net/anwar-is-smarter-than-mahathir/

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA