Ancaman pengganas semakin meruncing, kata menteri pertahanan Singapura


KO OLINA: Ancaman kumpulan pengganas terhadap keselamatan Asia Tenggara semakin meruncing kerana mereka menjadi lebih tersusun dan teratur, kata Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen pada Jumaat.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mesyuarat para menteri pertahanan Asia Tenggara dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Ash Carter di Hawaii, yang membincangkan ancaman IS dan kumpulan sepertinya secara panjang lebar.

Lebih 1,000 warga Asia Tenggara berpusu menyertai ‘kalifah’ IS di Iraq dan Syria, kata Eng Hen.

“Dalam mesyuarat kami setiap tahun, kami dapati keadaan dan ancaman daripada pengganas meruncing,” kata Eng Hen. “Berbanding 1 atau 2 tahun lepas, mereka semakin tersusun…semakin berangkaian, semakin teratur dalam usaha mencapai matlamat mereka.”

Pegawai keselamatan pada Jun berkata militan Asia Tenggara yang mendakwa berjuang untuk IS berkata mereka melantik salah seorang individu paling dikehendaki di Filipina untuk mengetuai sebuah kumpulan serantau.

Pihak berkuasa Asia Tenggara dalam keadaan berwaspada selepas IS mengaku bertanggungjawab ke atas serangan di ibu negara Indonesia, Jakarta, pada Januari yang menyaksikan 8 orang terbunuh, termasuk 4 penyerang.

Eng Hen mengambil contoh rancangan baru-baru ini apabila sel pelampau Indonesia yang diatur oleh seorang ahli IS di Syria merancang untuk menyerang hotel di sekitar Marina Bay, Singapura. Rancangan itu digagalkan pihak berkuasa Indonesia, katanya.

“Rangkaian mereka kini bukan sekadar untuk mendapatkan wang dan senjata. Mereka sudah mula merancang,” kata Eng Hen.

Pegawai pertahanan AS percaya ratusan warga Asia Tenggara pulang ke negara masing-masing selepas menyertai IS di Iraq dan Syria, menimbulkan kebimbangan akan gelombang serangan baharu.

Eng Hen berkata pegawai pertahanan Asia Tenggara percaya sekiranya pangkalan IS dimusnahkan di Iraq dan Syria, ia hanya akan menambahkan risiko kepada Asia Tenggara dalam jangka masa pendek, kerana pejuang IS yang berpengalaman barangkali pulang ke negara masing-masing.

AS mengetuai kempen serangan udara untuk menyingkirkan IS daripada Iraq dan Syria.

“Mereka mungkin ambil keputusan untuk pulang, ada juga yang mengumpul kekuatan, ada yang berlatih dan rangkaian itu akan tetap ada,” kata Eng Hen. - FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA