Anak Kapal Warga Jepun Dikhuatiri Lemas



MELAKA: Seorang anak kapal warga Jepun dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke dalam laut di perairan Selat Melaka pada jarak 8.61 batu nautika arah barat daya berhampiran Pulau Upih, hari ini.

Mangsa seorang lelaki berusia 56 tahun hanya disedari hilang oleh kapten kapal dagang itu kira-kira jam 4 pagi tadi.

Difahamkan, kapal dagang membawa muatan gas itu melalui perairan Selat Melaka dan dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Klang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata pihaknya menerima maklumat kehilangan mangsa pada jam 12.15 tengah hari sebelum membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Pentas Budaya Pantai Puteri.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Operasi hari ini tertumpu di pesisiran pantai Melaka sehingga jam 6.30 petang, manakala operasi akan bersambung esok bermula jam 8 pagi," katanya ketika ditemui, sebentar tadi.- BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA