Anak Buat Laporan Polis


ALOR GAJAH: Anak lelaki kepada wanita dikenakan bayaran dianggap melampau ketika mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan Islam di Jasin, sudah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Muhammad Sholehin Md Saad, 22, berkata, sebelum itu dia menemui alamat pusat rawatan Islam berkenaan selepas melakukan carian di Internet kerana mahu mengubati ibunya yang mengadu sakit kaki, Selasa lalu.

Dakwanya, dia tidak mempunyai pilihan lain berikutan pusat perubatan Islam lain ramai pelanggan dan hanya premis berkenaan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.

Katanya, mereka disambut seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Am sambil memaklumkan rawatan dikenakan adalah berbayar.

“Memandangkan kami datang dari jauh iaitu sejauh 61.3 kilometer dari Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah ke pusat rawatan Islam terbabit, mahu atau tidak kena teruskan berubat kerana ibu (Sardiah Wahab, 46) mengadu sakit.

“Saya memang terperanjat apabila dimaklumkan perlu membayar RM300 untuk proses imbasan ke atas ibu yang menanggung rasa tidak selesa akibat kesakitan.

“Lelaki terbabit kemudian bertanya berulang kali sama ada mahu meneruskan atau tidak rawatan menyebabkan saya yang ditemani isteri dan abangnya, Muhammad Saddan, 25, mengumpulkan duit yang ada ketika itu untuk berubat,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya, kelmarin.

Katanya, selepas proses mengesan penyakit selesai, lelaki terbabit memberitahu ibunya terkena sihir iaitu patung dililit dawai berduri di bahagian kaki mengakibatkannya berasa sakit dan mengalami masalah saraf.

“Lelaki terbabit kemudian menunjukkan invois senarai setiap rawatan perlu dijalani ibu dengan jumlah keseluruhan RM32,800. Sekali lagi, lelaki itu bertanya berulang kali kepada kami mahu meneruskan rawatan ataupun tidak.

“Kerana tidak mampu kami minta jumlah itu dikurangkan kepada RM22,000 dan selepas melihat kami berbincang agak lama, akhirnya ibu bertindak menyerahkan gelang tangan emas dipakainya kepada lelaki terbabit,” katanya.

Apabila ditanya mengenai caj rawatan mahal, katanya, lelaki itu menyatakan jumlah terbabit adalah kos ditanggung ke atas pesakit sepanjang rawatan sehingga sembuh sepenuhnya.

Menurutnya, lelaki terbabit turut menawarkan air Yasin untuk mandian dan diminum pada harga RM40 sebotol tetapi akhirnya diberikan secara percuma selepas diberitahu sudah kehabisan wang.

“Selepas invois yang diterimanya viral di media sosial, saya dihubungi wakil beberapa pusat perubatan Islam lain yang turut menawarkan bantuan untuk merawat ibu,” katanya.

Sementara itu, Sardiah berkata, akibat tidak tahan menanggung kesakitan ibarat jarum menyucuk di dalam daging, dia menyerahkan rantai tangannya yang dibeli pada harga kira-kira RM4,000 supaya rawatan dapat diteruskan.

“Mahu tidak mahu, saya serahkan rantai tangan itu supaya rawatan dapat diteruskan memandangkan kami sudah berusaha separuh jalan. Pada mulanya saya ingatkan anak hanya bergurau mengenai kos rawatan terbabit,” katanya.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA