Alternatif Dapatkan Semula Kuasa Yang Terhakis


Ahli Parlimen Sarawak mungkin akan mencadangkan pindaan di Parlimen bagi mengembalikan satu fasal dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai cara untuk negeri ini mendapatkan semula kuasa yang terhakis selama ini.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata sebelum pindaan dibuat pada 1976, Sarawak dan Sabah dikategorikan berbeza daripada negeri-negeri Semenanjung Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebelum itu (pindaan 1976), dikatakan Malaysia seharusnya terdiri daripada (A) Negeri-Negeri Malaysia Barat, (B) Sarawak dan Sabah dan (C) Singapura.

“Sudah tentu Singapura tidak ada lagilah. Jadi sekarang tinggal hanya satu kategori,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Seminar Sejarah Sarawak di sini semalam.

Ditanya sama ada Sarawak dan Sabah dianggap rakan Malaysia sebelum pindaan dilakukan pada 1976, Adenan menjelaskan: “Maksud saya, itulah ertinya. Anda lihat, ia adalah kategori yang berbeza.”

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa ‘rakan kongsi’ itu adalah mutlak dalam Perjanjian Malaysia 1963, perjanjian antara Malaya, Sabah (Borneo Utara), Sarawak dan Singapura termasuk United Kingdom (UK).

“Apabila anda sebahagian daripada perjanjian itu maka (hak) anda adalah sama.

“Jika perlu Ahli Parlimen akan mencadangkan pindaan khusus ke atas fasal Perlembagaan Persekutuan itu,” ujarnya sambil menambah, kerajaan negeri akan membincangkan perkara itu dengan kerajaan pusat.

Diminta mengulas lanjut mengenai perkara itu Adenan berkata perkara dimaksudkan beliau ialah kembali kepada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia dan Akta Malaysia yang asal.

“Perkara lain yang perlu diingat ialah Perjanjian Malaysia tidak boleh diubah atau dipinda, walaupun dengan meminda Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kerana perjanjian itu adalah satu perjanjian antarabangsa yang didaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ,” tegasnya.

Adenan turut mendedahkan bahawa Malaysia telah melanggar undang-undang antarabangsa sebanyak dua kali kerana tidak mematuhi Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 1963.

“Ini tidak bermakna Sarawak akan keluar dari Malaysia. Tidak… kita hanya mahu mendapatkan semula hak-hak kita seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia pada 1963.

“Jadi sejak itu, hak dan kuasa itu semakin terhakis dan kita mahukan ia semula. Jangan kata saya mahu Sarawak keluar Malaysia, tiada kaitan langsung,” katanya.

Tambah Adenan lagi, kerajaan persekutuan telah menunjukkan simpati dan ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Menyentuh mengenai pembentukan Malaysia, Adenan berkata Sarawak ketika itu di bawah ancaman komunis dari Indonesia dikenali PKI pada tahun 1962-1963.

“Sarawak juga berdepan ancaman daripada Komunis Malaya yang ketika itu sangat agresif, mereka mahu mengambil alih dan menubuhkan Komunis Malaya, Singapura pula di ambang mengambil alih Barisan Sosialis.

“Oleh itu, kita (Sarawak) berdepan saat amat sukar ketika itu dan kita terpaksa membuat keputusan kerana kita tidak mampu bertahan sendiri. Ketika itu kita hanya ada satu pasukan (tentera),” jelasnya.

Adenan turut diminta mengulas cadangan seorang ahli akademik yang membentangkan kertas kerja pada seminar berkenaan iaitu ‘mereka yang tidak suka apa yang sedang berlaku di Malaysia boleh meninggalkan negara ini’.

“Ia tidak semudah itu. Banyak perkara terlibat, tidak semudah itu,” tegasnya.- UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA