Aktiviti Terancang Jenayah Pengemis Asing Di Malaysia


MELAKA: Dengan wajah yang berparut dan tempang, mereka merayu meminta wang daripada rakyat tempatan dan pelancong luar negara di bandar bersejarah ini. Dan mereka juga adalah sebahagian daripada kumpulan pengemis terancang yang besar dikendalikan oleh dua adik-beradik dari China.

Malah kumpulan itu turut terdiri daripada beberapa rakan sejenayah dan dikatakan berkuasa di beberapa tempat di China, terutama di daerah Dongguan dan Zhengzhou.

Kumpulan tersebut membawa individu-individu cacat ke Malaysia menggunakan visa pelancong dan menjadikan mereka pengemis di kawasan tumpuan percutian seluruh negara.

Selepas selesai tugas, mereka diletakkan di bilik hotel atau menyewa unit rumah seperti mana yang dibuat kebanyakan pelancong, manakala hasil kutipan duit diserahkan kepada ketua di sini.

Pasukan The Star telah memantau aktiviti pengemis ini selama dua hari bermula Jumaat di Jonker Walk dan berakhir di Petaling Street, Kuala Lumpur pada Ahad.

Daripada pemerhatian yang dibuat di Kuala Lumpur, kira-kira 30 individu orang kurang upaya dan cacat dilihat berkumpul di sebuah hotel bajet di bandar Petaling Street.

Beberapa jam kemudian, dilihat seorang lelaki berbadan tegap dan sasa, dipercayai salah seorang daripada adik-beradik tersebut mengumpul wang tunai daripada beberapa individu sebelum meninggalkan hotel.

Pengemis kembali ke bilik mereka.

Pasukan kami cuba untuk mengambil gambar-gambar di hotel tetapi ahli-ahli geng tersebut sentiasa berjaga-jaga.

Walau bagaimanapun, kami berjaya bercakap dengan dua pengemis dengan bantuan seorang pekerja restoran tempatan yang fasih bertutur berbahasa Mandarin.

Pengemis pertama memperkenalkan dirinya sebagai Xiu Yuan, 33, dan mendakwa dia dilahirkan dalam keadaan sihat dan normal namun tetapi 'dicacatkan' oleh kumpulan jenayah terancang di China itu.

"Ia adalah satu kumpulan yang besar dan mempunyai hubungan di Malaysia yang sentiasa memerhatikan kami," katanya sambil melihat sekeliling untuk memastikan tidak diperhatikan.

Xiu Yuan mendakwa dia dilumpuh oleh kumpulan itu ketika masih kecil dan disimpan seperti tawanan selama bertahun-tahun sebelum dibenarkan ke luar negara.

Jelasnya, ketua geng yang dikenali sebagai "Tahkeh" di China, hanya membenarkan pengemis senior ke luar negara setelah mendapat kepercayaannya.

"Di China, terdapat ramai pengemis yang menderita berada dalam cengkaman kumpulan ini," katanya.

Xiu Yuan juga mendedahkan bahawa di Malaysia, kumpulan ini dikawal oleh adik yang membawa masuk muka baharu ke negara ini setiap bulan dan menghantar yang sebelumnya kembali ke China.

"Selepas dua bulan, kami akan kembali ke sini dan terus mengemis. Kami telah melakukan ini selama bertahun-tahun, "katanya.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA