Akta Dana Politik Takutkan DAP Sarawak

Meskipun dakwaan diatas tidak dapat dipastikan kebenarannya, tapi sedikit sebanyak memberi gambaran tentang sumber suatu parti politik. - gambar hiasan
Selama ini Parti TIndakan Demokratik (DAP) dilihat begitu lantang mempersoal serta menuntut ketelusan dalam isu derma atau sumbangan politik yang diterima parti-parti politik di negara ini, seolah-olah mereka tidak pernah menerima dana atau sumbangan seumpama itu.

DAP dan PKR turut sama memainkan isu derma atau sumbangan politik, seolah-olah dana yang mereka perolehi bukan dari sumbangan atau derma.

Sandiwara pembangkang dalam perkara ini cukup menghiburkan rakyat, kononnya mereka tidak menerima derma dari mana-mana pihak, dan mereka menyifatkan derma atau sumbangan adalah rasuah.

Ironinya, bila kerajaan Barisan Nasional (BN) mencadangkan untuk memperkenal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik bagi menjamin ketelusan, Parti-parti pembangkang mula kepanasan dan menolak cadangan tersebut dengan pelbagai alasan.

Semalam, DAP Sarawak menerusi satu kenyataan secara rasmi membantah Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik yang dicadangkan.

Paren Nyawi yang merupakan pembantu khas kepada Ahli Parlimen Sibu dipetik sebagai berkata, walaupun kerajaan BN menyatakan bahawa tujuan akta ini adalah untuk melaksanakan keterbukaan dan ketelusan dalam arena politik negara, tetapi DAP merasakan ini merupakan plot untuk menganiaya penderma daripada pihak pembangkang.

Jelas DAP dan pihak pembangkang terpaksa mencipta alasan kerana takut dana mereka diketahui umum, mereka mahu dana atau sumbangkan dirahsiakan seperti sekarang ini.

Akta tersebut mengkehendaki derma politik yang berjumlah RM3,000 setahun diisytiharkan.

Pembangkang mengakui langkah itu akan menyebabkan penderma politik terutama perniagaan persendirian takut untuk menyumbang dana kepada parti pembangkang apabila terpaksa mengisytiharkan derma.

Lalu dimanakah ketelusan yang mereka perjuangkan selama ini?

Antara cadangan oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) adalah tidak ada had ke atas jumlah yang boleh didermakan kepada mana-mana parti atau ahli politik.

Namun, sumbangan asing, perniagaan milik kerajaan dan syarikat terima kontrak kerajaan diharamkan begitu juga dengan sumbangan dalam bentuk tunai daripada sumber asing kepada parti politik termasuk sumbangan daripada individu, syarikat, yayasan, organisasi, persatuan atau mana-mana entiti berdaftar atau tidak yang berdaftar di Malaysia.

Sekali lagi, jelas apa yang sebenarnya menakutkan DAP dan Pembangkang adalah ketelusan.

Kerana hakikatnya, samada pembangkang atau mana-mana parti politik memang menerima sumbangan atau dana politik dari pihak tertentu. 

Cuma, sampai bilakah mereka mahu bersandiwara mengatakan derma atau sumbangan politik adalah "rasuah” dihadapan rakyat?

Maka dengan membantah Akta tersebut mereka boleh dalam diam-diam menerima "rasuah" itu?

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA