Ajal Pada Hari Lahir


BAGAN SERAI - Tarikh ulang tahun kelahiran seorang lelaki bertukar tragedi apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan van di Kilometer 102, Jalan Ipoh-Butterworth arah selatan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi berhampiran perumahan Taman Serai Baiduri, mangsa, Norhafiszon Shaari,27, dari Kampung Depan Balai, di sini maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala.

Kejadian itu turut menyaksikan pemandu van, T Kaliapan,74, mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan, manakala rakan mangsa yang memandu kenderaan jenis Honda Accord tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah kereta dipandu rakan mangsa, Muhammad Illyasa Asyraf Jamalluddin,27, bersama mangsa datang dari arah Bagan Serai menghala ke tempat kerja mereka di Kampar.

Menurutnya, sampai tempat kejadian, tiba-tiba tayar hadapan sebelah kiri kereta berkenaan mengalami kerosakan menyebabkan pemandu hilang kawalan dan kereta seterusnya berpusing masuk ke laluan bertentangan.

"Pada masa sama, datang sebuah van jenis Toyota Hiace dari arah Taiping menghala ke Bagan Serai dan seterusnya melanggar bahagian belakang kereta dinaiki mangsa setelah tidak sempat menekan brek.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil bedah siasat di Hospital Parit Buntar mengesahkan punca kematian akibat kecederaan parah di kepala,"katanya kepada media di sini semalam.

Omar Bakhtiar berkata, pemandu van yang mengalami kecederaan parah turut dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Zulaiha Jelani,20an, ketika ditemui di bilik forensik Hospital Parit Buntar terkejut mendapat berita pemergian suaminya buat selama-lamanya.

Lebih memilukan, Zulaiha mendedahkan hari ini merupakan sambutan ulang tahun hari lahir mangsa yang ke-27.

"Sebelum pergi kerja pagi tadi , arwah ada berpesan akan mengambil cuti separuh hari pada hari ini untuk meluangkan masa bersama saya dan anak tunggal, Airin Farisya,2.

"Kehilangan arwah amat mengejutkan, namun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,"katanya.

Jenazah Allahyarham Norhafiszon kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Keramat, di sini jam 4 petang semalam.-SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA