AirAsia hadiah penerbangan percuma kepada atlet Paralimpik


SEPANG: AirAsia hari ini menghadiahkan penerbangan percuma kepada pemenang pingat Sukan Paralimpik dari rantau Asia Tenggara dalam majlis di Asian Aviation Centre of Excellence di sini.

Tiga pemenang pingat emas negara - Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter T36 (cerebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) adalah antara pemenang pingat emas di Asia Tenggara yang menerima penerbangan percuma seumur hidup.

Pemenang pingat gangsa tunggal negara, Siti Noor Radiah acara lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran) pula menerima penerbangan percuma selama tiga tahun.

Keseluruhannya 12 pemenang emas, tujuh pemenang perak dan 12 pemenang gangsa dari Asia Tenggara menerima penerbangan percuma daripada AirAsia.

Sementara itu pemenang pingat perak dari negara Asia Tenggara lain menerima lima tahun penerbangan percuma.

Pemenang pingat tersebut juga diberikan kad AirAsia BIG edisi khas yang berwarna emas, perak dan gangsa yang membolehkan mereka terbang ke lebih 120 destinasi yang terdapat dalam rangkaian penerbangan AirAsia dan AirAsia X termasuk di Asia, Australia, Timur Tengah dan Afrika.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif dari negara lain serta pegawai kerajaan dan sukan dari rantau Asia Tenggara.

"Sekali lagi atlet Asean membanggakan rantau ini dengan menunjukkan kita boleh menjadi pencabar yang hebat di peringkat dunia dan saya amat berbesar hati dapat menghadiahkan ahli sukan ini dengan penerbangan percuma sebagai penghargaan mereka yang cemerlang.

"Atlet ini membuktikan bahawa tiada had dalam keazaman manusia, tiada halangan untuk mencapai impian dan kita boleh atasi segala rintangan dengan tumpuan, keazaman dan ketekunan. Mereka inspirasi kepada rantau ini dan dunia," kata Tony.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA