Air Pasang Besar: Kerajaan Peruntuk RM3j


KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memperuntukkan RM3 juta bagi membaik pulih ban dan tebing yang rosak akibat fenomena air pasang besar sebelum ini selain persiapan bagi gelombang kedua fenomena itu diramal 16 hingga 18 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peruntukan itu telah dan akan diagihkan secara berperingkat kepada pihak yang terbabit bagi membaik pulih struktur ban dan tebing di kawasan yang terjejas.

"Kerja-kerja baik pulih ini melibatkan kerja menaikkan semula kawasan ban yang pecah selain kerja-kerja untuk persiapan menghadapi gelombang kali kedua yang diramalkan pada 16 hingga 18 Oktober ini.

"Antara negeri yang terlibat ialah Perak, Kedah, Perlis, Selangor dan Pulau Pinang. Walaupun ada negeri bukan ditadbir Barisan Nasional, tapi kita tidak bermain politik, kita cuba selamatkan manusia dan berlaku adil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Ujian Alat Pengesanan Utiliti Bawah Tanah, Pusat Khidmat Pelanggan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dan melancarkan Buku Atlas Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.

Pada 19 September, beberapa kawasan di beberapa negeri di Semenanjung dilanda fenomena air pasang besar yang menyebabkan ban dan tebing pecah sekali gus menyebabkan banjir.

Kawasan berkenaan juga dijangka berisiko menerima impak daripada gelombang kedua fenomena tersebut dan amaran telah dikeluarkan supaya penduduk berpindah untuk keselamatan mereka.

Wan Junaidi berkata, fenomena air pasang besar berlaku di seluruh dunia dan kesemua negara yang terjejas termasuk Malaysia cuba menanganinya dengan perancangan yang lebih baik untuk manfaat semua pihak.

Selain RM3 juta itu, beliau berkata, kementerian turut memohon peruntukan sebanyak RM416 juta untuk kos jangka panjang bagi menghadapi fenomena air pasang besar di negeri-negeri terlibat.

"Kita tunggu bila dapat kelulusan. Bajet 2017 pun (akan dibentangkan) tidak lama lagi. Harapan kita ia (peruntukan) dapat diisi secara berperingkat," katanya.

Menyentuh mengenai alat pengesanan utiliti bawah tanah, beliau berkata negara dan pemain industri memerlukan kemudahan itu bagi mengelakkan kerugian seperti saluran paip pecah atau saluran wayar rosak dilanggar jentera ketika membangunkan sesebuah kawasan. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA