Air pasang besar: Jawatankuasa Bencana sedia hadapi banjir di Kerian


PARIT BUNTAR: Jawatankuasa Bencana Daerah Kerian bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir akibat fenomena air pasang besar berskala besar di lima kawasan di daerah itu hujung minggu ini.

Pegawai Daerah Kerian Mohd Sabli Bakri berkata persiapan itu membabitkan penyediaan pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Piandang, SK Seri Pinang, SK Bagan Serai, SK Seri Siakap dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Gula.

Bekalan makanan dan kemudahan lain disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk diagihkan kepada penduduk terjejas yang ditempatkan di pusat pemindahan, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya berlaku banjir akibat fenomena air pasang besar, sebanyak 14 kampung membabitkan 530 keluarga di mukim Bagan Tiang, mukim Kuala Kurau, mukim Tanjung Piandang, mukim Selinsing dan mukim Bagan Serai dijangka terjejas.

"Anggota-anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia juga bersiap sedia sepenuhnya untuk memindahkan mangsa," katanya.

Mohd Sabli berkata penduduk di kawasan terdedah dengan kemungkinan banjir telah diarah membuat persediaan termasuk memindahkan peralatan rumah ke kawasan tinggi.

Mereka juga diminta memastikan dokumen penting disiapkan lebih awal supaya mudah dibawa bersama jika diarah berpindah ke pusat pemindahan, katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebelum ini berkata fenomena air pasang besar berskala besar, yang membawa ombak tinggi dan tiupan angin kencang, dijangka melanda Pantai Barat Semenanjung pada 17 hingga 20 Okt ini. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA