Agensi Bantuan Kecemasan Sedia Hadapi Tengkujuh


KUALA LUMPUR:  Agensi bantuan kecemasan kini sudah bersiap sedia untuk menghadapi banjir besar yang akan melanda bahagian pantai timur semenanjung.

Pahang, Kelantan dan Terengganu akan berhadapan musim monsun timur laut yang dijangka tiba pada pertengahan November.

Kali ini pihak berkuasa merancang untuk mengatasi masalah yang bakal tiba lebih awal.

Penduduk akan dipindahkan sebelum banjir meningkat ke tahap yang berbahaya.

Pasukan Pertahanan Awam akan bertindak sebagai sekretariat untuk memantau operasi pemindahan.

Turut bersiap sedia adalah polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat selain badan-badan lain yang berkaitan.

Jabatan Meteorologi Pahang memberi amaran mengenai fenomema air pasang yang luar biasa akan berlaku pada 14 November dan 14 Disember.

Susulan itu sejumlah 385 kawasan di negeri berkenaan sedang bersiap sedia menghadapi banjir.

Sebanyak 107 pangkalan keselamatan akan disediakan dengan simpanan stok makanan selama tiga hari bermula 7 November.

Jurucakap jabatan itu berkata, amaran awal akan dikeluarkan 48 jam lebih awal.

"Kami menjangkakan hujan turun bermula minggu kedua bulan November dengan hujan lebat pada Disember hingga Januari tahun depan. Jika hujan berterusan, banjir besar mungkin berlaku," katanya.

Sekiranya banjir besar berlaku, beberapa bahagian Lebuhraya Pantai Timur (berhampiran kawasan rehat Temerloh) dan Jalan Ubai, Pekan akan terjejas.

Aliran lumpur juga dijangka akan berlaku di Bukit Goh, Bukit Satelit di Beserah dan beberapa kawasan perlombongan bauksit di Kuantan.

Sebanyak 118 lokasi di Pahang telah dikenal pasti sebagai kawasan berkemungkinan berlaku tanah runtuh dengan Maran menjadi lokasi yang paling terdedah.

Di samping itu, 666 pusat pemindahan sementara untuk menempatkan 165,650 mangsa banjir telah dikenal pasti - pusat-pusat akan ditambah jika keadaan menjadi lebih teruk.

Cuti bagi kakitangan operasi menyelamat banjir juga telah dibekukan selama tiga bulan bermula 15 November.

Skuad Bantuan Krisis MCA Pahang (CRSM), Datuk Chang Hong Seong berkata, semua anggotanya telah bersiap sedia.

"Kami akan membantu dalam menyalurkan bantuan bagi tujuan pemindahan. Kebanyakan ahli-ahli kami telah menerima latihan dan mempunyai pengalaman berurusan dengan banjir besar," katanya.

Pengarah Pertahanan Awam Kelantan, Lt Kol Zainuddin Hussin berkata, "Semua sudah diaturkan dan kami bersedia.

"Latihan operasi banjir telah dijalankan beberapa kali dan keperluan sepersi makanan dalam tin, air dan selimut telah disediakan."

Lt Kol Zainuddin menggesa penduduk di kawasan yang terjejas supaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyelamat.

"Kita perlu bertindak sebelum keadaan menjadi lebih teruk," katanya.

Pengarah Pertahanan Awam Terengganu Lt Kol Che Adam A. Rahman berkata, pemimpin masyarakat di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir juga sudah bersedia.

"Kami telah menjalankan latihan simulasi banjir untuk mereka, mengajar mereka bagaimana untuk bertindak dan ke mana lokasi yang perlu dituju jika berlaku banjir," katanya sambil menambah bahawa sebanyak 500 lokasi termasuk sekolah dan dewan orang ramai telah didaftarkan sebagai pusat pemindahan banjir.

Timbalan Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata mangsa banjir akan dipindahkan sebelum keadaan menjadi semakin berbahaya.

"Dengan cara ini kita boleh mengurangkan keperluan untuk menggunakan bot untuk pemindahan.

"Sebaliknya bot boleh digunakan untuk mengagihkan bantuan sebaliknya," katanya.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA