Abang Johari hadiri EATOF di Yogyakarta, Indonesia


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menghadiri Forum Pelancongan Antara Wilayah Asia Timur (EATOF) yang berlangsung dari 20 hingga 23 Oktober 2016 di Yogyakarta, Indonesia.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan mengetuai delegasi 32 orang, antaranya terdiri daripada isteri beliau Datin Amar Datuk Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Gerawat Gala, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Sarawak Suriya Charles Buas dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datu Ik Pahon Joyik.

EATOF 2016 membabitkan beberapa wilayah dan negara iaitu tuan rumah Yogyakarta (Indonesia), Sarawak (Malaysia), Cebu (Filipina), Jilin (China), Siem Reap (Kemboja), Gangwon (Korea Selatan), Quang Ninh (Vietnam), Tottori (Jepun), Luang Prabang (Laos) dan Tuv (Mongolia).

EATOF diwujudkan melalui mesyuarat persediaan membabitkan Filipina, Thailand, Korea Selatan, China, Rusia, Malaysia, Jepun, Monggolia dan Indonesia pada September 1999 di Seoul, Korea Selatan.

Mesyuarat Agung Pertama EATOF telah diadakan pada 2000 di Gangwon, Korea Selatan dan persetujuan tercapai untuk mewujudkan Sekretariat Tetap EATOF pada 22 Januari 2008.

Terkini Quang Ninh (Vietnam) Luang Prabang (Laos) dan Siem Riep (Kemboja) merupakan anggota baharu EATOF dan Primorsky (Rusia) bersama Chiang Mai (Thailand) digugurkan.

EATOF bertujuan mewujudkan kerjasama dan intergrasi antara wilayah melalui pelancongan bertujuan menggalakkan kerjasama pertumbuhan ekonomi dan fokus terhadap sektor pelancongan turut menyumbang kepada manfaat sosial dan pemeliharaan ekologi.

Antara peranan yang dimainkan setiap wilayah yang menganggotai EATOF membabitkan pengwujudan perkongsian maklumat berkaitan industri dan dasar pelancongan, kerjasama membabitkan program pelancongan antara wilayah, pertukaran pegawai, mewujudkan pembabitan sektor awam dan swasta dalam penyelidikan dan pembangunan, pakej pelancongan, pengangkutan, infrastruktur dan strategi pelancongan serta landasan kerjasama terhadap isu pelancongan di wilayah terbabit. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA