80 Ekor Ulat Bersarang Di Telinga Kanak-kanak


SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terpaksa menjalani dua pembedahan bagi mengeluarkan 80 ekor ulat berenga yang bersarang di telinganya akibat hidup dalam persekitaran yang kotor.

Radhika Mandloi, dari bahagian tengah India, mula mengalami sakit yang amat sangat di bahagian telinga kirinya minggu lepas. Sebelum ini ibu bapanya tidak begitu mempedulikannya namun selepas dia menangis tidak berhenti-henti barulah mereka membawanya ke hospital.

Doktor yang memeriksanya terkejut melihat ulat tersebut yang terhasil dari larva lalat, yang tertarik kepada bau busuk.

Jika Radhika tidak dirawat dengan segera, ulat berenga itu akan mula makan otaknya dan ia boleh membawa maut.

“Saya sangat terkejut melihat begitu banyak ulat berenga. Ia biasanya tertarik kepada bau busuk dan ini bukti bahawa keluarga terbabit hidup dalam persekitaran yang amat kotor hinggakan memberi kesan kepada anak mereka,’’ kata doktor yang merawatnya, Dr Raj Kumar Mundra.

Jelas doktor terbabit, pihaknya pernah merawat jangkitan ulat berenga itu namun setakat dua tiga ekor sahaja, tidak sebanyak yang ditemui dalam telinga Radhika.

Keadaan itu memaksa dua pembedahan dilakukan dengan setiap satu memakan masa selama 90 minit.

Dalam pembedahan pertama, 70 ulat berenga dikeluarkan manakala selebihnya dalam pembedahan kedua.

Kanak-kanak itu masih dirawat di hospital dan dia dipantau ketat oleh doktor untuk beberapa minggu akan datang. Manakala bapanya pula diberitahu supaya tidak memandang remeh penyakit melibatkan jangkitan telinga.

“Telinga dan hidung dekat dengan otak maka ia memerlukan penjagaan kebersihan yang sempurna,’’ kata Dr Raj Kumar Mundra.-MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA