8 Anggota Polis Leka Berjudi, Layan Air Ketum Ditahan



IMEJ Polis Diraja Malaysia (PDRM) ‘tercalar’ sekali lagi apabila lapan anggota pasukan itu ditahan ketika sedang leka bermain judi di sebuah kedai makan di Jalan PJS 8/15, Bandar Sunway, di sini, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 petang itu, lapan anggota itu sedang leka bersama ‘judi 21’ dengan dua orang awam.

Anggota yang ditahan membabitkan seorang konstabel dan tujuh lans koperal dari Balai Polis Sungai Wang, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Balai Polis Taman Melawati, Ampang Jaya berusia dari 26 hingga 52 tahun.

Difahamkan, seorang anggota berpangkat lans koperal dari Unit Rondaan Bermotor, Balai Polis Sungai Way berjaya meloloskan diri ketika serbuan.

Polis turut merampas 50 botol yang mengandungi cecair dipercayai air ketum di dalam kotak.

Semua anggota yang ditahan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan tangkapan itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan seorang polis berpangkat lans koperal ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan dua buah kereta yang diparkir dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Kes berkenaan masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun serta denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA