66 Usahawan Sahkan Penyertaan Promosi Kraf Di Miri


KUCHING : Seramai 66 usahawan kraf mengesahkan penyertaan dalam Promosi Kraf Malaysia 2016 di pusat beli-belah Bintang Megamall, Miri dari 21 hingga 30 Okt ini.

Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Azran Arip berkata, mereka terdiri daripada usahawan dari Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Johor dan Melaka.

Beliau berkata selain jualan hasil kraf yang merangkumi pelbagai bidang seperti tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf, pihaknya turut menyusun pelbagai program bagi menarik kunjungan ramai.

"Program promosi ini juga akan menampilkan pelbagai aktiviti interaktif kraf, di samping persembahan-persembahan kesenian bagi memeriahkan suasana," katanya di sini.

Katanya menerusi aktiviti interaktif kraf, pengunjung boleh cuba menguji bakat seni masing-masing dengan mengambil bahagian dalam aktiviti mewarna batik, dengan semua kelengkapan untuk mewarna disediakan dengan bayaran RM5 setiap penyertaan.

Azran berkata persembahan kesenian, termasuk permainan alat muzik 'Sape' turut dirancang pada hujung minggu promosi bagi memeriahkan dan menarik kunjungan lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara.

Beliau berkata inisiatif promosi itu dilaksanakan dengan tujuan menggalak serta memberi peluang kepada usahawan kraf Malaysia dalam mempromosi dan memasarkan produk kraf keluaran mereka di pusat-pusat tumpuan ramai dengan lebih agresif.

Katanya ia juga bertujuan membangkitkan minat orang ramai untuk menggunakan produk kraf Malaysia dalam kehidupan seharian di samping menyemarakkan semangat cintakan seni warisan kraf tempatan dalam kalangan generasi muda. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA