55 Maut Kereta Api Tergelincir Di Cameroon


YAOUNDE (Cameroon): Sebuah kereta api yang penuh dengan penumpang tergelincir kelmarin menyebabkan 55 orang maut dan lebih 600 lagi cedera.

Kereta api yang dalam perjalanan dari Yaounde, ibu negara Cameroon menuju ke Douala itu penuh dengan penumpang selepas jalan raya yang menghubungkan dua bandar itu terputus.

Menteri Pengangkutan, Edgar Alain Mebe Ngo’o berkata, kereta api itu tergelincir dari landasan ketika hampir tiba ke tengah bandar Eseka.

Jumlah mangsa yang maut dijangka meningkat kerana ramai penumpang yang cedera parah.

“Punca kejadian ini masih belum jelas,” katanya.

Menurutnya, kereta api itu bertolak dari Yaounde kira-kira jam 11 pagi (waktu tempatan) dan tergelincir sejam selepas itu.

“Pasukan sokongan dan keselamatan sudah dihantar ke lokasi kemalangan,” kata syarikat kereta api itu, Camrail.

Perkhidmatan kereta api itu sibuk selepas sebuah jambatan yang menghubungkan Yaounde dan Douala runtuh ketika hujan lebat pada Khamis lalu.

Keadaan itu menyebabkan perkhidmatan kereta api berkenaan terpaksa membawa lebih ramai penumpang dari kebiasaannya.

Jalan itu antara yang paling sibuk di Cameroon dan antara laluan komersial utama di Afrika tengah, yang membawa dagangan dari Chad ke Republik Afrika Tengah. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA