4 Lelaki "Dikehendaki" Bantu Siasatan Kes Tembak Mati Di Sungai Arip

Foto ihsan PDRM 

KUCHING: Polis Sarawak memohon bantuan orang ramai mengesan empat lelaki warga tempatan berhubung kes tembak mati seorang lelaki di Sungai Arip Balingian di Mukah kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah SAC Dato Dev Kumar berkata pihaknya sedang membuat siasatan terperinci mengenai kes tersebut sehingga mencetuskan pertelingkan.

"Seramai empat lelaki dicari bagi membantu siasatan pihak polis dan gambar berserta nama sudah diedarkan kepada media untuk disiarkan dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat jika mempunyai maklumat," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Dalam perkembangan lain, lapan lelaki yang ditahan sejak kejadian berlaku kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 2 November ini.

Menurut laporan Bernama, tiga daripada mereka berumur antara 27 hingga 38 tahun ditahan ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah untuk membuat laporan mendakwa kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mereka ditembak penduduk kampung di Sungai Arip.

Dari hasil pemeriksaan polis mendapati ada beberapa kesan disyaki tembakan pada kereta dan cermin kereta pecah.

Seramai lima lagi individu berusia antara 18 hingga 65 tahun termasuk tiga Tuai Rumah ditahan polis.

Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Sarawak dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Mukah menjalankan siasatan di Sungai Arip untuk mengenal pasti penduduk rumah panjang yang berada di tempat kejadian.

Turut dirampas dua laras senapang patah berserta beberapa butir peluru dan beberapa barang lain berkaitan dengan kes terbabit.

Polis juga masih belum mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di tempat kejadian namun apa yang diketahui setakat ini seorang penduduk kampung melepaskan tembakan senapang patah dan terkena badan mangsa.

Pada 5.35 petang Isnin lalu, polis Sibu dimaklumkan orang awam mengenai kejadian tembak itu dan pasukan IPD Tatau yang sampai di tempat kejadian kira-kira 8 malam, menemui mayat lelaki memegang parang, tertiarap di atas jalan di simpang masuk ke Ladang Sungai Arip.

Mangsa yang mempunyai kesan luka pada kepala dan badan dipercayai akibat tembakan dan tetakan dengan benda tajam dikenali sebagai Fabian Janti Lebau, 26, berasal dari Miri.

Siasatan awal polis mendapati sekumpulan lelaki menggunakan beberapa kenderaan masuk ke satu jalan menghala Ladang Sungai Arip pada 5.30 petang hari sama dan berhenti di satu halangan yang didirikan sejak awal bulan Oktober oleh penduduk di beberapa rumah panjang di kawasan berkenaan bagi menghalang kenderaan syarikat perladangan dari masuk ke ladang.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA