4 Askar Cedera Trak Rempuh Tiang Elektrik

Gurun: Empat anggota tentera cedera ringan selepas trak tiga tan dinaiki terbabas dan merempuh tiang elektrik di Batu 5, Jalan Gurun-Jeniang, Gurun, hari ini.

Difahamkan kejadian berlaku pada 4.50 petang ketika trak tentera terbabit dalam perjalanan dari arah Gurun ke Kem Hobart Jeniang, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 5 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku disebabkan pemandu trak, Lim Palman, 35, hilang kawalan lalu terbabas dan terlanggar pembahagi jalan hingga terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh tiang elektrik.

Katanya, akibat kemalangan itu, pemandu lori terbabit tersepit di tempat duduk dan pihaknya terpaksa meminta bantuan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak untuk mengeluarkannya.

"Tiga penumpang lain iaitu Saiful Azli Zakariah, 33, Salehudin Hassan, 42, dan Razali Hairoh Anuar, 34 berjaya keluar sendiri.

"Semua mangsa hanya cedera ringgan dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dengan dengan menaikki ambulans St John," katanya.

Dalam pada itu, Ketua BBP Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba, Safuwan Md Saad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.55 petang dan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, didapati tiga mangsa berjaya keluar sendiri dan anggota bomba terus melakukan usaha mengeluarkan pemandu yang tersepit.

"Operasi tamat pada 5.48 petang tadi," katanya ketika dihubungi. - HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA