33 Individu Ditahan Dalam Serbuan 14 Premis Judi


KUCHING: Polis Sarawak menahan 33 individu berusia dalam lingkungan 16 hingga 62 tahun dalam 14 serbuan di seluruh negeri sejak 17 Oktober sehingga semalam dipercayai terlibat dalam aktiviti judi haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dato Dev Kumar berkata, 14 serbuan dilakukan berkaitan dengan loteri haram, judi atas talian berjudi di tempat awam.

Menurutnya, 27 lelaki dan 5 wanita itu ditahan kerana terlibat dalam mempromosikan loteri tanpa lesen serta judi atas talian manakala seorang merupakan warga asing.

"Wang tunai berjumlah RM4,253 dirampas dalam serbuan itu bersama dengan peralatan yang digunakan untuk penjualan tiket loteri termasuk kalkulator berserta kertas lejar juga pelbagai jenis komputer dan mesin ikan digunakan untuk judi atas talian," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dev berkata, serbuan yang dijalankan adalah bagi memastikan setiap daerah negeri ini bersih dari pada kegiatan perjudian haram. 

Serbuan melibatkan empat kes dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Sarawak, tiga daripada Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching, dua daripada IPD Miri, manakala IPD Padawan, IPD Serian, IPD Sibu, IPD Bintulu dan IPD Limbang masing-masing satu kes.

Sehingga berita ini ditulis, difahamkan kesemua tahanan telah bebas dengan jaminan.-Sarawakiana




No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA