21 pelajar perempuan dibebaskan dari militan Boko Haram

KANO: Dua puluh satu pelajar perempuan yang diculik kumpulan militan Boko Haram lebih dua tahun lepas, akhirnya dibebaskan.

Naib presiden Nigeria, Yemi Osibanjo berkata pembebasan pada Khamis itu adalah hasil rundingan kerajaan dengan kumpulan militan itu.

Jelasnya, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan kerajaan Switzerland memainkan peranan sebagai perantara dalam proses rundingan itu.

Tambah Osibanjo, pembebasan juga itu tidak melibatkan sebarang pertukaran.

“Tuhan telah membantu kami. Tidak, tiada sebarang pertukaran yang berlaku. Berita mengenai pembebasan empat, satu atau dua atau tiga atau empat komander adalah tidak benar... ia tidak berlaku.

“Banyak perkara perlu dilakukan untuk membantu mereka kembali hidup seperti biasa selepas trauma diculik. Seperti apa yang saya katakan, kami akan mempertimbangkan semua pilihan dan seperti mana kami sudah katakan pada awal, kami bersedia untuk melihat pilihan kami,” katanya.

Tambah beliau, apa yang penting ialah pembebasan gadis-gadis tersebut dan mengembalikan kehidupan mereka.

21 pelajar ini merupakan antara 276 yang diculik oleh kumpulan militan di sebuah sekolah asrama di Chibok pada 2014.

Selepas dibebaskan, mereka kini diletakkan di bawah jagaan jabatan perkhidmatan negeri dan agensi perisikan.

Mereka juga mendapat rawatan di hospital di Abuja.

Masih terdapat 197 tebusan yang ditahan kumpulan Boko Haram dengan kebanyakannya dilaporkan sudah meninggal dunia.- Agency

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA