2 Lelaki Disyaki Ah Long Serang Rumah Ditahan


PETALING JAYA: Dua lelaki dipercayai ‘ah long’ yang dirakam merosakkan sebuah rumah di Kota Damansara bersama dua rakan mereka pada Rabu lepas ditahan di dua lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan semalam berumur 32 tahun.

Seorang daripada suspek ditahan di sebuah rumah di Johor Bahru, Johor kira-kira pukul 1.15 pagi yang membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di Taman Gembira, Sri Petaling, pada pukul 9.40 malam tadi, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Rabu lepas, empat lelaki ketika cuba melarikan diri dari kawasan perumahan berkenaan setelah dipercayai membaling botol kaca berisi cat merah ke sebuah rumah pada pukul 2.50 petang, berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Rakaman CCTV itu menjadi viral selepas persatuan penduduk Kota Damansara memuat naik video tersebut di laman Facebook.

Mohd Zani berkata, siasatan awal mendapati bekas suami kepada wanita berusia 66 tahun yang menghuni rumah berkenaan pernah berhutang dengan lebih 15 orang termasuk Ah Long yang mencecah kira-kira RM200,000.

“Bekas suaminya yang berusia dalam lingkungan 70-an pernah menetap di Hong Kong selepas bercerai dengan wanita itu pada tahun 1987, namun didapati telah pulang dan menetap di negara ini,” katanya.

Berdasarkan siasatan awal, kemungkinan lelaki berkenaan yang tidak bekerja menggunakan alamat rumah bekas isterinya untuk membuat sebarang pinjaman.

Wanita itu berada di rumah sewaktu kumpulan berkenaan menyerang rumahnya, namun beliau takut dan tidak tonjolkan diri, katanya.

Menurut Mohd Zani, polis masih mencari beberapa orang yang terlibat dengan kejadian itu serta memberitahu kemungkinan kumpulan yang menyerang rumah mangsa itu adalah kumpulan yang sama menyerang sebuah kedai kopi di Serdang baru-baru ini.–BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA