140 Terbunuh Di Majlis Pengebumian


SANAA: Lebih 140 orang terbunuh dan lebih 525 cedera apabila orang ramai yang menghadiri satu majlis pengebumian di sini menjadi sasaran serangan udara.

Kumpulan pemberontak Houthi menuduh serangan itu dilancarkan pakatan yang diketuai Arab Saudi.

Pakatan berkenaan yang terdiri daripada beberapa negara Arab bagaimanapun menafikannya.

“Angka kematian begitu tinggi. Lebih 520 cedera dan lebih 100 terbunuh,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan di Sanaa, Tamim al-Shami, kepada stesen televisyen Almasirah yang dikuasai pemberontak.

Ia antara serangan yang menyebabkan ramai terbunuh sejak pakatan berkenaan melancarkan kempen pengeboman terhadap pemberontak Houthi Mac tahun lalu.

Penyelaras bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Yaman, Jamie McGoldrick berkata, pekerja bantuan terkejut dan kecewa dengan serangan itu yang menyasarkan sebuah dewan komuniti ketika orang ramai menghadiri upacara pengebumian.

Pada September 2015, sekurang-kurangnya 131 orang awam yang menghadiri satu majlis perkahwinan di Mokha, bandar tepi pantai Laut Merah, terbunuh dalam serangan udara yang juga didakwa dilakukan pakatan yang diketuai Saudi.

Mac lalu, serangan udara yang menyasarkan sebuah pasar meragut sekurang-kurangnya 119 nyawa, termasuk 106 orang awam, 24 daripadanya kanak-kanak, di Hajja, sebuah lagi wilayah yang dikuasai Houthi.

Dalam kejadian kelmarin, petugas penyelamat menarik keluar sekurang-kurangnya 20 mayat yang rentung dan cebisan anggota tubuh dari bangunan yang terbakar hangus di selatan Sanaa.

Sebahagian mangsa yang cedera hilang kaki dan terpaksa dirawat di tempat kejadian oleh sukarelawan.

Dalam kenyataannya kepada agensi berita, pakatan yang diketuai Arab Saudi berkata, ia tidak melancarkan sebarang serangan udara di lokasi berkenaan dan menggesa supaya ‘punca lain’ yang menyebabkan kejadian itu disiasat.

Menurut pakatan itu, pihaknya sejak dulu lagi mengelak menyasarkan serangan terhadap perhimpunan orang ramai.

Laman berita sabanews.net yang dikuasai Houthi berkata, pesawat pakatan terbabit mengebom dewan komuniti itu ketika ratusan orang berkumpul menghadiri upacara pengebumian bapa Menteri Dalam Negeri Houthi, Jalal al-Rowaishan.

Ia bagaimanapun tidak menyebut sama ada Jalal berada di bangunan itu ketika serangan.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Sanaa, Abdel Qader Hilal adalah antara yang mati.

“Orang ramai dari seluruh Sanaa datang untuk menghadiri upacara pengebumian ini. Sebuah pesawat datang dan menggugurkan bom. Kemudian satu lagi datang .

“Kami datang untuk pengebumian satu orang. Kini majlis itu menjadi pengebumian untuk lebih 140 orang,” kata saksi, Mulatif al-Mojani.

Houthi yang berfahaman Syiah dan disokong Iran menguasai Sanaa pada September 2014 sebelum mara di kebanyakan wilayah negara itu, memaksa kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa, President Abedrabbo Mansour Hadi melarikan diri.

Lebih 5,700 orang, kebanyakannya orang awam terbunuh di negara itu sejak pakatan Arab campur tangan untuk menyokong Abedrabbo.

Pertempuran semakin buruk sejak rundingan damai yang diusahakan PBB menemui jalan buntu Ogos lalu.-AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA