10 Sungai Di Sarawak "Lubuk Buaya"


MIRI: Sebanyak sepuluh sungai di Sarawak yang dikenal pasti mempunyai kepadatan atau populasi buaya tinggi akan diberi kebenaran untuk pemburuan reptilia tersebut bagi tujuan komersil termasuk eksport.

Sepuluh sungai terbabit ialah Batang Sadong, Sungai Tuang, Batang Krian, Sungai Seblak, Sungai Lingga, Sungai Sebuyau, Batang Lupar, Batang Saribas, Batang Baram dan Sungai Bakong.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Sapuan Ahmad berkata, kaji selidik yang dijalankan dari tahun 2012 hingga 2014 menunjukkan bahawa sungai-sungai tersebut mempunyai kepadatan lapan hingga 14 ekor buaya untuk setiap satu kilometer dengan Batang Lupar memiliki rekod terbanyak.

“Kesemua lokasi berkenaan adalah antara 45 sungai dengan jumlah sepanjang 2,108.38 kilometer dan dihuni kira-kira 12,000 ekor buaya atau 5.57 ekor buaya bagi setiap kilometer di sungai-sungai terbabit.

“Sungai-sungai ini juga adalah lokasi di mana kebanyakan serangan buaya ke atas manusia dilaporkan berlaku sejak bertahun-tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sidang dialog dengan peniaga dan pengusaha burung walet di sini, semalam.

Turut hadir ialah timbalan beliau Engkamat Muatan yang juga Timbalan Pengawal Hidupan Liar Sarawak dan Pegawai Penyelidik JHS Mohammad Kohdi.

Bagaimanapun, menurut Sapuan, walaupun pemburuan dibenarkan namun kuota dan permit memburu, membunuh dan menjual buaya masih belum dimuktamadkan dan perlu dipersetujui oleh agensi-agensi kerajaan dan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Sapuan berkata, antara lain perkara yang akan dimuktamadkan selain kuota ialah membuat laporan kepada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Terancam dalam Fauna dan Flora Liar (CITES), mengenal pasti pembeli berpotensi memandangkan Sarawak terpaksa mengeksport lebih (terutama daging buaya) kerana majoriti penduduk tempatan mempunyai pantang larang yang tidak membenarkan daging buaya dimakan.

“Bagi pemberian permit pula, penduduk tempatan akan diberi keutamaan. Kami berharap pada tahun depan ia dapat dimuktamad dan akan wujud satu lagi industri untuk Sarawak dengan daging buaya yang mahal boleh mencecah harga sehingga RM38 (sekilogram), manakala kulit pula lebih mahal,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Sapuan berkata, buaya dewasa adalah sangat produktif dan setiap ekor boleh menghasilkan 800 biji telur, manakala kadar survival atau jangka hayat adalah sangat tinggi kerana buaya boleh hidup sehingga 100 tahun.

“Buaya adalah satu-satunya spesies haiwan purba, peninggalan zaman dinosaur yang masih wujud di Sarawak,” jelas beliau.

Pada masa ini, bagi mengurangkan konflik wilayah dan kuota makanan, JHS telah menjalankan pemusnahan buaya di 12 sungai iaitu Sungai Sarawak, Batang Samarahan, Sungai Sebuyau, Batang Sadong, Batang Saribas, Batang Lupar, Sungai Lingga, Sungai Seblak, Batang Belawai, Sungai Niah, Sungai Bakong dan Sungai Bako.

Buaya di Sarawak adalah haiwan liar dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar (WPO 1998) dan di bawah peruntukan antarabangsa CITES.

Oleh itu, memburu dan membunuh reptilia pemangsa ini dibenarkan apabila ia dianggap boleh mengancam keamanan dan harta, mengikut peraturan-peraturan di bawah Seksyen 41, 42 dan 42A WPO 1998.

Bagaimanapun, beliau berkata, pesalah atau keluarga mangsa perlu segera melaporkan kepada JHS jika mereka telah membunuh reptilia tersebut.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA