Yayasan Sarawak terima derma lebih RM5 juta


MIRI: Yayasan Sarawak menerima sumbangan derma lebih RM5 juta semasa Majlis Makan Malam Amal Yayasan Sarawak dan Kumpulan Syarikat Naim di Hotel Pullman malam kelmarin (Sabtu).

Lima syarikat yang masing-masing menderma sebanyak RM1 juta ialah Tabung Amanah Naim, Kumpulan Syarikat Ta Ann, Kebajikan Dayang Fatimah Bhd, Shorefield Sdn Bhd dan Samling Sdn Bhd.

Replika cek disampaikan kepada isteri Ketua Menteri yang juga Penaung Majlis Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu sambil disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang juga pengerusi Yayasan Sarawak.

Naim diwakili Pengarah Urusan Kumpulan Naim Datuk Hasmi Hasnan, Ta Ann diwakili Pengerusinya Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi sementara Kebajikan Dayang diwakili oleh Chin Chee Kong.

Untuk menambah kutipan derma, Adenan mendendangkan lima lagu yang antaranya ‘Can’t Help Falling In Love’, ‘Young Ones’, ‘Monalisa’ dengan kutipan RM60,000.

Derma RM60,000 turut diterima oleh Jamilah untuk dendangan dua lagu bertajuk Asmara dan Senyuman Tak Berbalas.

Daripada jumlah itu, RM100,000 disumbangkan oleh Tan Sri Yee Ming Seng sementara RM20,000 daripada ADUN Lambir Ripin Lamat.

Hasmi yang menyampaikan lagu ‘Unchained Melody’ mendapat derma berjumlah RM8,085 iaitu hasil kutipan daripada kakitangan Naim.

Sumbangan turut diterima daripada Timbalan Pengerusi Eksekutif Dayang Enterprise Sdn Bhd Datuk James Ling berjumlah RM50,000 dan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri sebanyak RM10,000.

Jumlah kesemua derma yang berjaya dikumpul adalah RM5,188,085.

Timbalan Pengerusi Yayasan Sarawak Datu Dr Abdul Rashid Mohd Azis berterima kasih kepada penderma serta Naim dan Yayasan Sarawak memastikan kejayaan majlis dan derma akan diagihkan kepada badan kebajikan serta golongan memerlukan di seluruh Sarawak.

“Sumbangan anda kepada Yayasan Sarawak akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan dalam bentuk geran, bantuan perubatan, kebajikan dan pendidikan,” jelasnya.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan Yayasan Sarawak berjumlah RM25,000 kepada empat pertubuhan kebajikan dan sebuah pertubuhan kaum.

Penerima yang masing masing menerima RM5,000 ialah Pusat Dalam Komuniti/Pusat Jagaan Harian Sunflower Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Permyjaya, PERYATIM Miri, Persatuan Ibu Tunggal Bumiputera Miri dan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Malaysia.

Majlis makan malam ditaja oleh pemilik Pullman yang juga Pengarah Urusan Interhill Group Datuk Hii Chang Pee.

Hadir sama ialah Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar dan Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin.

Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian daripada artis tempatan, Ricky Andrewson. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA