Wujud Rangkaian Institusi Latihan Kemahiran ASEAN


PUTRAJAYA: Satu rangkaian institusi latihan kemahiran rantau ASEAN perlu diwujudkan bagi memupuk kerjasama yang kukuh dalam bidang pembangunan kemahiran modal insan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata selain pertukaran idea dan pengalaman, rangkaian itu dapat meningkatkan kerjasama dalam bidang pembangunan keupayaan untuk pelatih, menarik minat terhadap latihan vokasional dan memantapkan pembangunan kurikulum kemahiran di seluruh ASEAN.

Hargai peluang diberi
"Penyertaan dalam pertandingan seperti Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) adalah peluang terbaik yang patut dihargai setiap peserta.

"Ini kerana mereka adalah yang terbaik dipilih untuk mewakili negara masing-masing," katanya pada sidang media selepas merasmikan ASC 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Riot berkata, pekerja berkemahiran tinggi adalah matlamat dalam program pembangunan modal insan seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11).

"Ia menjadi faktor kritikal dalam menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pekerja berkemahiran adalah tonggak negara bagi menyokong peralihan semua sektor ekonomi negara ke arah kegiatan beroreantasikan pengetahuan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Pekerjaan dan Perburuhan, sehingga kini sebanyak 5,878 program sudah ditauliahkan Jabatan Pembangunan Kemahiran yang merangkumi enam kementerian dan 16 agensi awam melalui 1,184 pusat bertauliah awam serta swasta. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA