Wenger Sambut Ulang Tahun Dengan Sempurna


LONDON: Arsene Wenger menyifatkan Arsenal hampir sempurna selepas menyaksikan mereka meraikan ulang tahun ke-20 dirinya sebagai pengurus dengan kemenangan 3-0 ke atas Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Alexis Sanchez, Theo Walcott dan Mesut Ozil masing-masing menyumbatkan satu gol dalam tempoh 40 minit pertama dengan The Gunners merekodkan kemenangan terbesar ke atas Chelsea sejak April 1997.

Ia adalah kemenangan pertama Arsenal ke atas Chelsea dalam aksi liga sejak Oktober 2011 dan menyaksikan mereka melonjak ke tangga ketiga manakala skuad bimbingan Antonio Conte jatuh di kedudukan kelapan.

"Ia adalah aksi menakjubkan daripada pasukan. Kami bermain dengan semangat juang tinggi dan pergerakan yang teratur.

"Sudah pasti kamu mahu permainan yang sempurna tetapi kamu tidak akan mendapatnya. Kami hampir sempurna pada babak pertama dan ia tidak kurang hebatnya.

"Bola sepak tidak peduli mengenai sejarah dan ulang tahun, keputusan perlawanan pada hari itu lebih penting. Hari ini (awal pagi tadi) kami beraksi dengan baik," kata Wenger.

Satu perkara negatif dialami Wenger yang dilantik sebagai pengurus Arsenal pada September 1996 adalah kecederaan lutut dialami pemain tengah, Francis Coquelin sekali gus menyaksikan Granit Xhaka dibawa masuk.

"Kami kehilangan Coquelin dan Xhaka dibawa masuk, dia bermain pada tahap terbaiknya. Ia adalah kecederaan lutut dialami Caquelin - masalah yang sama dialaminya tahun lalu. Saya harap ia tidak mengambil masa lama untuk pulih seperti tahun lalu," kata Wenger.

Bagi pengurus Chelsea, Conte, ia adalah tiga perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan selepas seri 2-2 dengan Swansea City dan tewas 1-2 di tangan Liverpool di laman sendiri.

"Saya fikir kami tidak bermain dengan baik sejak minit pertama lagi. Selepas perlawanan ini, kami fikir kami perlu lebih bekerja keras kerana kami hanya pasukan yang kuat di atas kertas," katanya. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA