Wanita OKU Hilang, Keluarga Mohon Bantuan Orang Ramai


KUALA LUMPUR: Tindakan seorang wanita kelainan upaya (OKU) yang meninggalkan rumah sejak empat hari lalu tanpa pesan telah menimbulkan kebimbangan ahli keluarganya, yang kini memohon bantuan orang ramai untuk mengesannya.

Noorhayati Yusoff, 41, yang tinggal bersama ibu dan abangnya di Bandar Baru Putra, Ipoh dilaporkan meninggalkan rumah berkenaan pada jam 9 pagi, pada Selasa (6 September) lalu.

Menurut adik kepada Noorhayati, Fatimah Yusoff, keluarganya sudah membuat laporan polis mengenainya di Ipoh dan ia dianggap sebagai kes orang hilang.

“Yong (panggilan kepada Noorhayati) dilihat menaiki kereta api ETS 9401 dari Ipoh ke KL Sentral pada jam 11 pagi.

“Hasil maklumat orang ramai, kali terakhir dia dilihat berada di stesen KL Sentral,” ujar Fatimah yang menghubungi Astro AWANI.

Terdahulu, sebuah rakaman imej dari kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari stesen KTM Ipoh menunjukkan Noorhayati memakai baju berwarna biru cair dengan seluar bermotif kekotak, sambil membimbit dua beg pakaian serta satu beg galas.

Wanita OKU hilang, keluarga mohon bantuan orang ramai

“Ibu kami menghidap penyakit strok dan lumpuh satu badan kerana setelah baru-baru ini menjalani pembedahan membuang tempurung kepala.

“Mungkin Yong merajuk kerana tumpuan kami sekeluarga kini lebih diberikan kepada ibu. Sebelum ini, ibu yang menguruskan Yong,” kata Fatimah.
Tambah Fatimah, hebahan juga sudah dibuat di Balai Polis Travers.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Noorhayati diminta menghubungi keluarganya di talian 012-214 8456, 012-258 2401, atau 019-269 8445 ataupun menghubungi pihak polis berdekatan. - AWANI

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA