Wanita Lahirkan Anak Dalam Bas


INDONESIA: Seorang penumpang wanita melahirkan anak di dalam bas selepas terkandas dalam kesesakan jalan raya berhampiran Tol Brebes Timur semalam.

Jurucakap polis Brebes, Arfan Zulkan Sipayung berkata, kejadian pada jam 5.15 petang (waktu tempatan) itu berlaku ketika Siti Homsiyah dalam perjalanan pulang ke kampung sempena sambutan Aidiladha.

Katanya, setibanya berhampiran pintu tol berkenaan, Siti Homsiyah mengadu sakit mahu bersalin.

“Ketika kejadian laluan sesak dengan kenderaan menyebabkan bas berkenaan tidak dapat menghantar wanita itu ke hospital.

“Pemandu bas menghubungi polis untuk meminta bantuan tetapi wanita itu sudah melahirkan anaknya dengan bantuan penumpang lain,” katanya.

Ujarnya, satu pasukan polis dihantar untuk menyelamatkan wanita itu dan anaknya.

“Apabila polis tiba di bas berkenaan kami dapati wanita itu sudah selamat melahirkan anaknya dan kami segera membawa mereka ke hospital,” jelasnya.

Menurutnya, dua beranak itu dibawa ke sebuah hospital di sini dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Kesesakan jalan raya situasi biasa di Indonesia apabila jutaan penduduk pulang ke kampung ketika musim perayaan.

Pada cuti sambutan Aidilfitri lalu, beberapa pengguna jalan raya maut selepas terperangkap berjam-jam dalam kesesakan jalan raya berhampiran Tol Brebes. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA