Wanita Hadapi Krisis Rumah Tangga Mudah Jadi Mangsa Love Scam


KUALA LUMPUR: Golongan wanita yang mempunyai krisis rumah tangga dan ibu tunggal berusia pertengahan dilaporkan cenderung menjadi mangsa sindiket penipuan 'Love Scam' atau cinta dalam talian yang didalangi lelaki warga asing.

Mendedahkan perkara itu, Pegawai Penyiasat Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman ASP Mohd Syafiq Jinuin Abdullah berkata wanita berusia antara 31 dan 40 tahun direkodkan antara paling ramai terpedaya dengan sindiket ini.

Katanya, faktor kesunyian dan masalah rumah tangga tidak harmoni yang sering didepani golongan wanita berkenaan mendedahkan diri mereka menjadi mangsa sindiket tersebut.

Selain itu, beliau berkata individu yang tidak mempunyai masa untuk bersosial dan mencari teman hidup juga berpotensi menjadi mangsa sindiket berkenaan.

"Mereka (anggota sindiket) ini mempunyai 'skrip' atau kata-kata manis untuk memikat dan menjalinkan hubungan cinta sebelum memperdayakan mangsa wanita mereka melalui laman sosial seperti Facebook," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Syafiq Jinuin berkata berdasarkan profil mangsa, anggota sindiket dilihat tidak mempunyai spesifikasi tertentu, sebaliknya memilih individu secara rambang di alam maya untuk dijadikan mangsa.

Beliau berkata antara mangsa sindiket ialah golongan profesional seperti doktor, peguam, guru, pensyarah, pegawai bank dan ahli perniagaan.

Katanya sebanyak 5,456 kes penipuan cinta dalam talian melibatkan kerugian lebih RM215 juta telah direkodkan sejak tahun 2013 hingga Ogos tahun ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi dan maklumat akaun bank kepada orang yang baru dikenali melalui alam maya serta jangan memberi atau menghantar wang kepada kenalan yang tidak pernah ditemui secara fizikal.

"Masyarakat diingatkan supaya tidak mudah mempercayai mana-mana individu terutama di internet kerana penglibatan dengan sindiket ini dapat memberi kesan ke atas emosi selain mengakibatkan mangsa menanggung beban hutang yang tinggi," katanya. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA