Wajib Bina Bongol Di Hadapan Sekolah


SUNGAI SIPUT: Kementerian Pendidikan mungkin akan mewajibkan pembinaan bonggol di laluan kawasan sekolah sebagai antara langkah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

Timbalan Menterinya, Datuk P. Kamalanathan berkata, tindakan tersebut penting susulan beberapa insiden kemalangan melibatkan pelajar sekolah sehingga meragut nyawa kebelakangan ini.

"Kementerian akan melihat bagaimana untuk memperketat lagi peraturan keselamatan lalu lintas termasuk mewajibkan pembinaan bonggol di hadapan setiap sekolah.

"Kami telah meletakkan tanda amaran, ada penjaga lalu lintas, mengurangkan had laju kepada 30 kilometer sejam dan menebalkan garisan kuning di hadapan sekolah tapi kemalangan masih berlaku hingga melibatkan nyawa pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Anugerah Dermasiswa Lafarge 2016 di Dewan Tun V. T Sambanthan di sini hari ini.

Semalam, seorang murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Medan menemui maut akibat dilanggar treler ketika melintas untuk memasuki perkarangan sekolahnya.

Pada Selasa seorang murid Tahun Empat juga maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan untuk memasuki perkarangan SK Santong di Dungun, Terengganu.

Dalam pada itu, Kamalanathan turut meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya mengenakan tindakan tegas terhadap pemandu yang tidak mematuhi peraturan keselamatan di kawasan sekolah sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.

"Memang ada penjaga lalu lintas di sekolah tetapi ada juga pemandu yang memandu dengan laju tanpa melihat amaran yang diberikan sehingga perkara ini terjadi," katanya. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA