Ustazah Letak Jawatan Kerana Isu Enggan Salam Lelaki


STOCKHOLM: Seorang guru wanita Islam terpaksa meletak jawatan dan memfailkan aduan kepada unit kesaksamaan Sweden apabila tindakannya enggan bersalaman dengan rakan lelaki disifatkan berunsur 'diskriminasi' oleh pengetuanya.

Fardaos El-Sakka, 20, bekerja sebagai guru sambilan di Kunskapsskolan, Helsingborg, di selatan Sweden sejak Ogos lalu.

Berpegang teguh kepada ajaran agama, El-Sakka tidak bersalaman dengan rakan lelaki, sebaliknya meletakkan tangan pada dada dan tunduk sebagai tanda hormat.

Bagaimanapun, seorang rakan lelakinya berasa terhina dengan tindakan itu dan melaporkan ia kepada pihak berkuasa sekolah, lapor akhbar Expressen.

"Jika ada sesiapa yang berasa didiskriminasi di sini, beliau ialah pekerja yang tangannya enggan disambut El-Sakka.

"Lelaki itu berasa terhina," kata pengetua, Lidija Münchmeyer, kepada akhbar berkenaan.

El-Sakka dipanggil untuk berbincang dan diberitahu kakitangan diminta menghormati nilai sekolah seperti kesaksamaan jantina, jika mahu bekerja di situ.

"Beliau berdiri dan berkata, 'Jika begitu, saya meletak jawatan'. Sekolah kami tidak membezakan sesiapa atau melayan setiap orang berbeza.

"Itu yang kami ajar kepada pelajar dan kami perlu bertindak seperti yang diajar," katanya.

El-Sakka berkata, itu adalah kali pertama seseorang berasa terhina dengan kengganannya bersalaman dengan mereka. Beliau juga percaya pihak berkuasa sekolah tidak adil. - AGENSI

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA