Undang-undang Kredit Pengguna Diperkenal


Undang-undang kredit pengguna akan diperkenalkan bagi menyediakan perlindungan konsisten kepada perniagaan dan isi rumah yang berurusan dengan pengantara kewangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim.

"Pengaturan sesuai juga sedang dipertimbangkan bagi memacu dan menyokong pembangunan jentera pembiayaan alternatif untuk memenuhi keperluan pembiayaan perniagaan kecil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Persidangan Kewangan Masa Depan 2016 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, semalam. Pengantara kewangan bukan institusi kewangan berlesen.

Muhammad berkata, bagi mengukuhkan lagi keberkesanan dan daya tahan operasi institusi terbabit, pindaan kepada Akta Pembangunan Institusi Kewangan sudah dibuat yang mana ia berkuat kuasa Januari 2016.

Perkukuh bahagian penting
Beliau berkata, pindaan itu mengukuhkan lagi bahagian penting seperti tadbir urus dan perlindungan pengguna.

Pengukuhan undang-undang itu katanya, akan memastikan pembangunan institusi kewangan boleh menyumbang secara lebih baik kepada fasa pembangunan sosioekonomi Malaysia berikutnya.

Gabenor BNM berkata, institusi lebih mengkhusus seperti syarikat pemfaktoran dan pemajakan, penyedia dana budiman dan kredit alternatif pelbagai industri seperti permotoran, perumahan dan sektor runcit pengguna boleh berperanan menyediakan pilihan lebih banyak untuk pengguna.

Bagaimanapun, katanya, ada standard tinggi dan pra syarat ketat yang perlu dipenuhi sebelum model pendanaan ini boleh berkembang.

"Kewujudan pengawal selia yang mantap, penyeliaan dan rangka pengawal seliaan kukuh dan berdaya tahan, serta undang-undang perlindungan pengguna yang teguh adalah beberapa asas penting yang diperlukan bagi memastikan instusi itu menyelesaikan halangan sebelum menjadi sumber berdaya maju atau membiayai dan memberi manfaat kepada ekonomi.

"Sasaran akhir adalah kekal dalam melindungi kepentingan pengguna, menyekat amalan predatori, mengurus paras hutang, termasuk hutang isi rumah yang tinggi dan melindungi peminjam daripada terjebak dalam kesusahan kewangan disebabkan ketidakupayaan membayar hutang," katanya.

Institusi bank
Muhammad berkata, sektor kewangan terus memainkan peranan perantara dalam membiayai ekonomi, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Setakat akhir Julai 2016, pembiayaan oleh sistem perbankan kepada perniagaan dan PKS berada pada RM533 bilion, berkembang pada kadar tahunan purata 9.9 peratus antara 2011 dan 2015.

Institusi bank, katanya, kekal sebagai pemberi pinjaman wang terbesar kepada PKS dan prestasi itu dijangka kekal dengan disokong kadar kelulusan pembiayaan yang tinggi iaitu hampir 80 peratus.

Persidangan selama sehari anjuran BNM itu menghimpunkan pemimpin industri untuk membincangkan peluang dan pembangunan idea substansif bagi pembangunan sektor kewangan berkaitan demi masa depan Malaysia.

Ia diadakan tepat pada tempoh pertengahan 10 tahun pelaksanaan Pelan Sektor Kewangan untuk menunjukkan kemajuan dan mengesahkan semula komitmen bagi meneruskan pembangunan sektor berkenaan. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA