Turki Sedia Lanjut Tempoh Darurat


TURKI: Badan keselamatan tertinggi Turki menggesa untuk melanjutkan darurat susulan cubaan rampasan kuasa 15 Julai lalu.

Majlis Keselamatan Negara (MGK) berkata, tempoh darurat perlu dilanjutkan bagi memastikan perlindungan demokrasi, kedaulatan undang-undang, hak dan kebebasan rakyat di negara itu.

Presiden Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan kecemasan selama tiga bulan pada 20 Julai lalu, kurang seminggu selepas kegagalan cubaan rampasan kuasa dan ia dijangka tamat pertengahan Oktober depan.

MGK bagaimanapun tidak memberitahu sama ada tempoh darurat yang baharu akan kekal tiga bulan.

Dalam perkembangan berasingan, pembinaan blok di sepanjang sempadan Syria untuk menghalang kemasukan pendatang tanpa izin dijangka siap lima bulan lagi.

"Pembinaan projek sepanjang 900 kilometer sempadan Turki dengan Syria akan siap hujung Februari tahun depan. Bagaimanapun, jadual jangkaan siap mungkin berdepan beberapa cabaran berpotensi disebabkan keadaan musim sejuk," menurut pegawai kerajaan.

Turki memulakan kerja pembinaan pada 2014 dan difahamkan, halangan tersebut adalah sama dengan spesifikasi dinding sempadan di negara lain. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA