Tun Dr Mahathir Perlu Mohon Maaf Terbuka Kepada Anwar

Foto Berita Harian
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Tan Sri S Nallakaruppan mendesak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf secara terbuka kepada beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokong yang telah menjadi mangsa kekejamannya.

Beliau berkata, Dr Mahathir juga perlu memohon maaf kepada semua ahli keluarga Anwar dan penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Saya adalah seorang mangsa yang ditahan mengikut ISA. Dr Mahathir sudah memasukkan saya dan beberapa lagi orang kerana kami menyokong Anwar.

"Malah, Dr Mahathir sudah memecat ramai lagi penyokong Anwar sama ada dalam politik dan kerajaan. Turut jadi mangsa penganiayaan beliau adalah beberapa ahli perniagaan sehingga ada yang diisytiharkan muflis," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Nallakaruppan berkata, permohonan maaf itu juga perlu disiarkan dalam semua akhbar tempatan dan antarabangsa termasuk Wall Street Journal (WSJ).

Ditanya tindakan beliau jika bekas Perdana Menteri itu enggan memohon maaf, katanya, beliau sudah berbincang dengan peguamnya untuk melihat sejauh mana boleh menyaman Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, beliau berkata, saman itu adalah bagi mendakwa Dr Mahathir yang salah mengambil tindakan ke atas beliau yang ditahan ISA kerana menjadi penyokong Anwar.

"Saya juga ada dihubungi beberapa sahabat dan pihak yang pernah dizalimi Dr Mahathir serta pernah menjadi tahanan ISA untuk mengambil tindakan yang sama terhadap bekas pemimpin itu.

"Saya menjelaskan peguam saya sedang menyemak perkara berkenaan dan selepas itu baru boleh menentukan sama ada saman akan dikemukakan atau tidak," katanya.

Mengenai tindakan Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan Anwar awal bulan ini, katanya, beliau tidak menjangkakan perkara itu dan percaya kedua-dua pihak tidak dapat bekerjasama kerana saling mencurigai.

"Saya mengenali Anwar dan beliau sahabat saya. Saya percaya beliau mungkin nampak seperti berdamai dengan Dr Mahathir tetapi sebenarnya sukar bekerjasama dengan orang yang menyebabkan beliau dipenjarakan.

"Dr Mahathir pula adalah orang yang tiada prinsip dan kini hanya berjuang untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak kerana mahukan anak beliau, Datuk Seri Mukhriz dipilih menjadi Perdana Menteri.

"Saya percaya kedua-duanya (Dr Mahathir dan Anwar) mengambil kesempatan antara satu sama lain. Dr Mahathir akan singkirkan Anwar bagi memberi laluan kepada anaknya," katanya.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA