Tujuh Gajah Mati Dalam Kolam Lumpur


KOTA KINABALU: Tujuh gajah liar ditemui mati dipercayai akibat terperangkap dalam kolam lumpur sedalam kira-kira 2.5 meter hingga 3.5 meter berhampiran kawasan pembalakan Berkat Saga di Rinukut Tawau.

Gajah terbabit dipercayai terperangkap dalam kolam terbiar itu lebih daripada seminggu sebelum disedari pekerja kem pembalakan dan memaklumkannya kepada pegawai Jabatan Hidupan Liar di Tawau pada 10 September lalu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata tujuh gajah terbabit adalah sebahagian daripada kawanan sembilan gajah. Beliau berkata, anggota Unit Penyelamat Hidupan Liar yang diarahkan ke lokasi mendapati lima gajah sudah mati dalam kolam lumpur terbabit, manakala empat gajah lagi masih hidup dengan dua daripadanya dalam keadaan amat lemah dan akhirnya tidak dapat diselamatkan.

"Pada 10 September lalu, Pegawai Hidupan Liar di Tawau melaporkan ada maklumat diterima daripada orang awam mengenai sembilan gajah tidak dapat keluar daripada kolam lumpur berdekatan kem pembalakan Berkat Saga.

"Malangnya, apabila pasukan kami tiba di kawasan itu, lima daripada sembilan gajah yang terperangkap sudah mati kemungkinan akibat terperangkap sekurang-kurangnya seminggu dari tarikh dijumpai.

"Mereka turut menemui dua gajah yang masih kuat dan menyelamatkannya dengan bantuan jentera berat dari kem pembalakan berhampiran. Dua lagi gajah yang terperangkap ditemui dalam keadaan lemah dan akhirnya tidak dapat diselamatkan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan dan laporan bedah siasat, tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam insiden itu.

Beliau berkata, gajah terbabit dipercayai masuk ke kolam lumpur berkenaan untuk mandi dan menyejukkan diri, namun terperangkap kerana dalam dan keadaan lumpur seperti pasir jerlus yang menyukarkannya keluar semula.

Augustine berkata, kolam bekas kuari lama itu sudah ditimbus bagi mengelak gajah liar lain yang ada di sekitar kawasan berkenaan memasukinya.

"Kita juga menasihatkan mana-mana pihak yang menggali kolam supaya menimbus kembali atau memagar kawasan berkenaan selepas tamat kerja bagi mengelak kejadian sama berulang terutama di kawasan yang menjadi laluan gajah," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA