Trump, Clinton bertembung pendapat, saling mencelah dalam Debat Presiden AS



HEMPSTEAD: Calon-calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari parti Demokrat, Hillary Clinton, dan dari parti Republikan, Donald Trump, masing-masing berdebat mengenai ekonomi, mempersoal polisi luar negara masing-masing dan saling mencelah hujah beberapa kali dalam perdebatan Presiden Amerika Syarikat yang pertama pada Isnin.

Selepas bertemu dan berjabat tangan serta bertukar senyuman, kedua-dua pesaing terus berentap. Clinton memanggil polisi cukai Trump sebagai 'Trumped-up trickle-down' sebagai mengejek polisi beliau yang tidak memberi banyak manfaat untuk rakyat, lapor Reuters.

Trump pula menuduh bekas Setiausaha Negara itu sebagai seorang yang omong kosong namun tiada tindakan diambil bagi melaksanakannya.

Masing-masing menuduh bahawa fakta mereka diputar belit dan salah dan ini membuatkan penonton menyemak laman web mereka bagi mendapatkan fakta sebenar. Hillary memanggil beliau Donald dan Trump memanggil Hillary sebagai Setiausaha Clinton.

“Saya merasakan bahawa saya akan dipersalahkan atas segalanya,” ujar Clinton, wanita pertama yang memenangi pencalonan presiden dalam parti politik utama AS.

“Kenapa tidak?” Trump membalas.

Sebaik sahaja debat dimulakan, mereka mengeluarkan kesemua hujah bagi visi ekonomi AS.

“Jenis rangka pelan yang Donald telah utarakan adalah untuk menjatuhkan semula ekonomi dan ini merupakan versi paling ekstrem, pemotongan cukai terbesar bagi peratusan rakyat tertinggi dalam negara ini yang pernah kita lakukan.

"Saya menggelarkannya Trumped-up trickle-down, kerana itu adalah apa yang bakal terjadi," kata
Clinton.

Polisi perdagangan

Trump, seorang taikun hartanah dan bekas bintang program realiti televisyen yang tidak pernah memegang jawatan dalam kerajaan, mengkritik Clinton atas polisi perdagangan.

Menurutnya, Clinton akan tetap meluluskan perjanjian perdagangan kontroversi dengan negara-negara Asia walaupun menentang idea itu sebagai calon.

“Anda memang menyokongnya. Kemudian anda dengar apa yang saya katakan mengenai betapa buruk perjanjian itu, dan anda berkata, ‘Saya tidak boleh menang perdebatan mengenainya’. Namun anda tahu jika anda menang, anda akan meluluskannya,” ujar Trump.
Clinton bagaimanapun menolak kritikan tersebut.

“Donald, saya tahu anda hidup dalam realiti sendiri, namun itu bukan faktanya,” katanya.

Clinton, 68, memakai persalinan pantsuit merah, manakala Trump, 70, memakai sut gelap dan tali leher biru dalam pertemuan debat yang menandakan perlumbaan yang semakin sengit ke White House.

Moderator Lester Holt ‘bertungkus-lumus’ untuk mengendalikan kedua-dua calon, dengan peralihan beberapa topik seperti polisi perdagangan, penentangan terhadap Daish dan tuduhan Trump mengenai Clinton yang mendedahkan banyak maklumat di laman webnya tentang kaedah untuk mengatasi kumpulan pengganas berkenaan.- Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA