TPM Sangkal Dakwaan Negara Dalam Ketidaktentuan



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan bahawa negara kini berada dalam keadaan ketidaktentuan terhadap pelbagai perkara termasuk dalam bidang ekonomi dan politik.

"Ramai yang kata seolah-olah negara kita tidak stabil dalam bidang ekonomi, tidak stabil politik, kononnya masyarakat kita berpecah belah, kononnya berlaku perbezaan pendapat kerana kita berlainan agama dan budaya.

"Masyarakat Malaysia dianggap sedang menghadapi kehancuran? Dakwaan itu silap," kata Timbalan Perdana Menteri semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kelapan Parti Makkal Sakti Malaysia, di sini hari Ahad.

Turut hadir, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia Datuk R.S Thanenthiran.

Menarik perhatian mengenai kedudukan ekonomi negara yang berkembang 4.1 peratus pada separuh pertama tahun ini, Ahmad Zahid berkata pertumbuhan itu sekali gus menunjukkan ekonomi negara pada tahap lebih mantap berbanding negara jiran.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan meskipun terdapat kekangan dan permasalahan ekoran kejatuhan harga minyak dan gas, tetapi ia bukan sahaja dialami Malaysia, malahan negara lain di dunia.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berusaha sebaik mungkin untuk kemajuan dan kemakmuran negara ini.

Mengenai dakwaan keadaan ekonomi negara lebih baik pada zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid menyifatkan bekas perdana menteri itu bernasib baik kerana ketika itu harga minyak dan komoditi sememangnya meningkat.

"Kini keadaan berbeza. Ini bukan salah kepimpinan kerana ia bergantung kepada pasaran dunia," katanya. -Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA