TPM Kesal Mentaliti Bertindak Selepas Tragedi


NEW YORK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kesal dengan sikap dan mentaliti masyarakat, termasuk agensi awam atau swasta yang hanya akan bertindak balas selepas berlaku sesuatu tragedi atau insiden yang mengorbankan nyawa.

Dengam merujuk insiden kemalangan membabitkan dua murid sekolah yang maut dilanggar kenderaan ketika melintas jalan ke sekolah minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri mahu satu sistem amaran awal dijelmakan bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang pada masa depan.

"Inilah masalah yang berlaku di Malaysia. Apabila timbul sesuatu isu atau masalah atau kejadian, baru hendak rancang sesuatu untuk dilaksanakan.

"Sepatutnya kita perlu ada sistem amaran awal bagi mengurangkan risiko atau mengelak sesuatu insiden berlaku. Jangan tunggu sampai ia berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-71 berakhir semalam.

Ahmad Zahid mengulas dua kes murid maut dilanggar kenderaan ketika melintas jalan untuk memasuki perkarangan sekolah minggu lalu di Terengganu dan Perak.

Peka aspek keselamatan murid
Susulan kejadian itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menawarkan khidmat anggota ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) untuk mengawal lalu lintas di kawasan sekolah pada waktu puncak bagi mengurangkan risiko murid terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau mahu semua pihak sedar aspek keselamatan murid termasuk guru dan orang awam berhampiran sekolah tidak boleh dipandang remeh kerana ia membabitkan kepentingan awam.

"Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab atas apa yang berlaku itu kepada Kementerian Pendidikan atau pihak sekolah sahaja. Pemilik kenderaan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga wajar bertanggungjawab dan tidak pandang ringan aspek keselamatan murid di luar sekolah," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, malaysia mahu Majlis Keselamatan PBB dirombak dan dikaji semula relevan dengan perkembangan isu keselamatan global.

Katanya, sudah sampai masa fungsi dan keanggotaan majlis itu mengalami anjakan pradigma baharu kerana ada keputusan atau resolusi dibuat majlis itu dalam isu keselamatan tidak selari dengan prinsip penubuhan PBB. -  BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA