TPM Kesal Insiden Murid Maut Dilanggar Ketika Melintas



NEW YORK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kesal dukacita dengan sikap dan mentaliti masyarakat termasuk agensi awam atau swasta di Malaysia yang hanya akan memberi maklum balas serta bertindak balas selepas berlaku sesuatu perkara atau insiden yang membabitkan kepentingan rakyat.

Dengan merujuk insiden kemalangan membabitkan dua murid sekolah yang maut dilanggar kenderaan ketika melintas jalan untuk ke sekolah minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri mahu satu sistem amaran awal dapat dijelmakan bagi mengelak sebarang kejadian seumpama itu berulang pada masa depan.

"Inilah masalah yang berlaku di Malaysia. Apabila timbul sesuatu isu atau masalah atau kejadian, barulah hendak rancang sesuatu untuk laksanakan. Sepatutnya kita perlu ada sistem amaran awal bagi mengurangkan risiko atau mengelak sesuatu insiden berlaku. Jangan tunggu sampai ia berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-71 berakhir semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Ahmad Zahid mengulas dua kes murid maut dilanggar kenderaan ketika melintas jalan untuk memasuki perkarangan sekolah minggu lalu masing-masing di Terengganu dan Perak.

Pada 21 September lalu, seorang murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Medan, Bagan Serai, Perak, maut akibat dilanggar treler ketika melintas untuk memasuki perkarangan sekolahnya. 

Sehari sebelumnya murid Tahun Empat SK Santong, Dungun, Terengganu turut maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan untuk memasuki perkarangan sekolah. 

Susulan kejadian itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menawarkan khidmat anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) untuk mengawal lalu lintas di kawasan sekolah pada waktu puncak bagi mengurangkan risiko murid terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau mahu semua pihak sedar aspek keselamatan murid termasuk guru dan orang awam berhampiran sekolah tidak boleh dipandang remeh kerana ia membabitkan kepentingan awam.

"Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab atas apa yang berlaku itu kepada Kementerian Pendidikan atau pihak sekolah sahaja.

Pemilik kenderaan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga wajar bertanggungjawab dan tidak pandang ringan aspek keselamatan murid di luar sekolah.

"Dalam hal ini, saya sebagai Menteri Dalam Negeri sedia menawarkan anggota RELA jika diperlukan untuk membantu mengawal lalu lintas di sekolah pada waktu puncak bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku," katanya.

Beliau berkata, perkara ini boleh dibincangkan di antara Pejabat Pendidikan Daerah atau Negeri dengan RELA atau dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri atau di antara Ketua Pengarah RELA dengan KSU KDN. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA