Tony, Idris Tidak Sesuai Terajui FAM


DUA tokoh korporat, Tan Sri Tony Fernan­des dan Datuk Idris Jala disifatkan tidak layak untuk mengisi kerusi Presi­den Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah membuat keputusan untuk berundur.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa ber­kata, calon yang mahu mengisi jawatan tersebut perlulah terdiri daripada mereka yang memahami dan terlibat secara langsung dalam sukan bola sepak di negara ini.

Menurutnya, jika individu yang tidak terlibat dalam aktiviti bola sepak menerajui jawatan tersebut, dikhuatiri mereka tidak akan memahami, sekali gus gagal menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi.

“Bila ada kekosongan se­nang sahaja, kita balik kepada peraturan. Tak payah meraba-raba cari orang itu, orang ini dan semua perkara tersebut telah dicatatkan da­­lam peraturan.

“Ahli gabungan perlu me­ngemukakan cadangan da­lam kalangan mereka yang sedang terlibat dengan bola sepak sahaja termasuklah jurulatih atau pengadil.

“Peraturan itu dibuat ke­rana mahu melihat badan itu dipimpin oleh seseorang yang telah dan sentiasa aktif dalam konteks bola sepak negara, sekali gus me­mudah­kan perlaksanaan tugas,” kata Annuar.

Kosmo! sebelum ini mela­porkan, kesediaan dua tokoh korporat untuk mengisi jawatan Presiden FAM sewajarnya diberikan kepada barisan kepimpinan badan induk tersebut.

Kesediaan Idris dan Fernandes menerajui FAM mem­buktikan bahawa ma­sih ada yang sayang dan mahu membantu bola sepak negara.

Pemilihan FAM bakal diadakan pada kongres ke-53 yang dijadualkan awal tahun depan selepas Jawatankuasa Eksekutif memutuskan tarikh kongres pada Oktober ini.

Calon presiden perlu menerima sekurang-kurangnya satu pencalonan daripada ahli gabungan FAM dan mestilah warganegara Malaysia.

Annuar memberitahu, pemilihan tersebut merupakan perkara penting dan ahli gabungan perlu mengambil peluang untuk membawa transformasi seperti yang terkandung dalam ucapan Tengku Abdullah sebelum ni.

Katanya, dalam ucapan tersebut, Tengku Abdullah ada menyebut FAM perlu melakukan transformasi sebagaimana dilakukan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

“Pada saya, ucapan Tengku Abdullah cukup indah, baginda sanggup berundur dan telah memberikan indikator kepada kita semua.

“Kalau kita masih buat macam biasa, maka tidak ada perkara yang akan berubah. Bagi saya, pemilihan pada kongres kali ini merupakan medan terbaik untuk melakukan perubahan,” ujar­nya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, keputusan Tengku Abdullah untuk berundur merupakan suatu kehila­ngan yang cukup besar kepada badan induk tersebut dan sukan bola sepak di negara ini.-Kosmo


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA