Tonto Lindungi Perlombongan Bauksit Haram Ditahan


KUANTAN: Polis menahan sembilan tonto, dipercayai melindungi aktiviti perlombongan bauksit di sekitar Bukit Goh dalam dua tangkapan pada 15 dan 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata kumpulan pertama yang membabitkan empat lelaki ditahan pada 15 Ogos lalu, manakala baki lima lelaki kumpulan kedua pada Isnin lalu.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux, dua kereta Hyundai serta PERODUA Myvi, walkie talkie, batang kabel, pengunci stering, batang buluh, cota dan sebuah buku.

"Siasatan mendapati, mereka ini adalah tonto yang terbabit dalam membantu kegiatan perlombongan bauksit secara haram walaupun dalam tempoh moratorium yang akan berakhir pertengahan bulan ini.

"Mereka menganggu pihak berkuasa menjalankan tugas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dengan menakutkan mereka, termasuk membaling mercun serta mengekorinya," katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

Katanya, semua suspek berkenaan masih ditahan reman bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Kita akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA