TMJ Harap PM Tak Layan Permintaan RM40 Juta Kelab Bola Sepak



JOHOR BAHRU: Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mendakwa ada pasukan bola sepak tempatan yang memohon peruntukan hingga RM40 juta daripada Perdana Menteri untuk mereka bersaing dalam liga tempatan.

Tunku Mahkota Johor, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mendakwa memiliki pemacu pena mengandungi maklumat salah urus dan ketirisan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menegaskan permintaan sebegitu tidak seharusnya dilayan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, hal tersebut tidak wajar kerana dana kerajaan seharusnya digunakan untuk perkara yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya berhubung aspek seperti pendidikan dan kesihatan.

Katanya, pihaknya maklum terdapat beberapa pasukan bola sepak tempatan yang kerap bertemu dengan pemimpin tertinggi negara untuk mendapatkan dana hingga berjumlah RM40 juta.

“Nasihat saya, jangan gunakan duit rakyat untuk bola sepak, sukan ini seharusnya menggunakan duit penajaan daripada syarikat-syarikat dan bukan duit rakyat.

“Pengurusan kelab juga perlulah bijak menguruskan perbelanjaan mereka dan tidak menggunakan wang melebihi daripada kemampuan agar tidak berhutang pada masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini hari ini.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail pada Julai lalu menggemparkan peminat bola sepak tempatan apabila mendakwa menyimpan pemacu pena yang mengandungi maklumat salah urus dan ketirisan dalam FAM selama 30 tahun yang diperoleh daripada seorang rakan berkedudukan tinggi dari Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pemacu pena berkenaan kemudian didapati tidak mengandungi maklumat yang boleh mengaitkan FAM dengan rasuah sebaliknya hanya mengandungi maklumat mengenai program pembangunan yang dijalankan oleh FAM dan beberapa hal lain seperti yang diperakui oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang meneliti kandungan pemacu pena itu setelah diberikan kepadanya oleh Tunku Ismail.

Perakuan itu turut disahkan oleh Tunku Ismail sendiri kemudian dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menyiasat dokumen di dalam pemacu pena itu selepas menerimanya daripada Khairy.

Sementara itu, Tunku Mah­kota Johor mencadangkan Perdana Menteri agar melakukan rombakan dalam barisan menteri kabinetnya dengan melantik pemimpin yang mampu memberi khidmat berkesan kepada rakyat.

“Beliau (Najib) perlu melakukan rombakan dengan menukar menteri yang dilihat menjadi liabiliti kepada pemerintah ketika ini, di samping mengekalkan mereka yang menjadi aset.

“Saya bersuara mengenai hal ini bukan bermaksud hendak menentang kerajaan, tetapi sekadar menyuarakan suara hati rakyat, itu tanggungjawab seorang pemimpin,” katanya.

- Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA